Jurusolek Arowana, kerjanya untuk mencantikkan ikan hiasan

Dari Penulis

Anda peminat ikan hiasan terutama spesies Arowana? Pernah terfikir tak untuk ‘mencantikkan’ ikan tersebut? Bukan saja untuk manusia, tetapi salun untuk ikan pun sudah ada.

Jaime Lim, lelaki dari Singapura antara ‘jurusolek’ ikan Arowana yang popular di negara kota singa itu. Kisahnya pernah mendapat perhatian media beberapa tahun lalu.

Dia bukan saja pakar dalam tugasan mencantikkan spesies ikan Arowana, malah turut melakukan pembedahan kecil terhadap ikan tersebut.

Lim melakukan operasi pembedahan kecil yang disebut Osteoglossidae. Dia akan memegang erat ikan tersebut dengan menggunakan tangan kirinya manakala tangan kanan pula dengan sebilah gunting kecil.

Seterusnya secara perlahan-lahan Lim menggunakan ibu jari tangan kirinya untuk menekan anak mata ikan berkenaan. Hanya beberapa saat, gunting kecil yang dipegang tangan kanannya akan memotong beberapa cebisan daging berwarna putih di celah-celah bahagian belakang anak mata ikan tersebut.

Prosedur sama turut dilakukan pada bahagian anak mata lain. Selain melakukan pembedahan kecil pada anak mata, Lim turut menjalankan beberapa prosedur lain iaitu membesarkan sirip dan ekor ikan menggunakan picagari.

Proses mencantikkan bahagian anak bola mata.

Bukan itu saja, beliau turut menyediakan perkhidmatan membuang blemished atau kecacatan pada keseluruhan fizikal haiwan akuatik ini. Kongsi beliau, operasi pembedahan kecil ini dijalankan di dalam sebuah bekas plastik khas yang berisi air.

Meskipun menerima tanggapan negatif daripada pihak tertentu terhadap aktiviti ini namun, komuniti pemilik ikan hiasan di Singapura ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian. Mereka berpandangan, pembedahan kecil itu bukan suatu bentuk penyeksaan sebaliknya, mencantikkan lagi spesies ikan berkenaan.

Menurut Lim, kepakaran mencantikkan ikan arowana para pelanggannya diperoleh selepas mengikuti latihan di Indonesia. Dalam tempoh empat tahun memperkenalkan rawatan ini, dia berjaya mencantikkan lebih 200 ekor ikan.

Sepanjang melakukan pekerjaan ini, para pelanggannya berpuas hati dengan servis yang ditawarkan meskipun, dikenakan caj sebanyak 120 dolar Singapura bagi satu sesi rawatan. Selain kecantikan, Lim turut menawarkan proses rawatan terhadap ikan-ikan hiasan lain yang ada sebarang masalah.

Jelas beliau, spesies ikan Arowana sering kali dikaitkan dengan permasalahan yang digelar ‘drop eye syndrome’ atau kedudukan bola mata ke bawah. Proses rawatan dua kali seminggu itu turut merujuk beberapa kes lain seperti kegemukan, faktor genetik atau keadaan persekitaran.

Seorang wanita bernama Ng atau terkenal dengan panggilan Dr.Ark juga tidak asing di kalangan pemilik ikan hiasan terbabit. Boleh dikatakan dia dianggap otai dalam bidang tersebut dan salah seorang individu yang mempelopori bidang itu sejak dua dekad lalu.

Menurut Ng lagi, pekerjaan ini dianggap suatu tugasan murni bagi menjaga hubungan antara pemilik dan ikan. Sudah menjadi lumrah bagi seorang manusia menyukai sesuatu benda yang cantik.

Apabila ikan peliharaan mereka kelihatan cantik maka ia akan bernilai tinggi. Serupa juga jika ia kelihatan tidak lawa sudah tentu ikan ini akan diabaikan atau dijual semula dengan harga lebih murah. Justeru, dia memberitahu hanya membantu melakukan sesuatu yang lebih baik agar haiwan ini lebih disayangi tuannya.

Sementara itu, doktor veterinar dari Allpets and Aqualife Clicnic, Dr. Frederic Chua berpandangan, proses mencantikkan ikan memerlukan seseorang individu yang pengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut. Kriteria ini penting bagi mengelakkan sebarang kecederaan serius haiwan berkenaan.

Perlu ingat, hidupan akuatik seperti ikan memiliki deria rasa sakit. Menerusi rekod kajian sebelum ini, reseptor kesakitan boleh terjadi pada bahagian kulit atau beberapa bahagian badan ikan.

Bahagian saraf akan menghantar mesej ‘sakit’ ke bahagian otak. Walau bagaimanapun, rangkaian saraf itu tidak serumit seperti haiwan berdarah panas. Justeru, hidupan air ini akan melakukan gerakan agresif sekiranya ia berasa sakit.

Jika dilihat dari sudut pandangan badan bebas bukan kerajaan (NGO),  perbuatan mencantikkan ke atas mana-mana spesies haiwan dianggap sebagai suatu perbuatan eksploitasi. Hal ini pernah diutarakan oleh Pengarah Eksekutif Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA), Jaipal Singh Gill. Justeru, perbuatan bagi sebarang proses bagi tujuan perubatan hanya layak dikendalikan oleh ahli veterinar bertauliah dan memiliki lesen yang sah.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Agri-makanan dan Veterinar Singapura telah menerima maklum balas mengenai prosedur kosmetik yang dijalankan ke atas ikan. Di bawah seksyen 42 (1) (d) Akta Haiwan dan Burung, mana-mana individu didapati bersalah secara tidak wajar atau munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak perlu pada mana-mana haiwan boleh didenda sehingga 15,000 dolar Singapura atau penjara selama 18 bulan.

______


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This