OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) menyokong teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kumpulan elit di Malaysia yang taksub dengan bahasa Inggeris dan memandang hina kepada bahasa Melayu.
Bagi MPM, kumpulan yang mabuk bahasa Inggeris itu terlupa mereka berada di Malaysia bukan di England, Amerika Syarikat, Australia atau New Zealand.
Mereka ini sepatutnya berhijrah saja ke negara tersebut atau paling tidak ke Indonesia, Thailand, Perancis, Korea atau Jepun hatta Republik Rakyat China.
Di negara tersebut anda tidak akan disanjung kerana bijak berbahasa Inggeris tetapi anda dihargai jika dapat bertutur dalam bahasa mereka walaupun dengan tergagap-gagap.
Sering juga bahasa Melayu dilaga-lagakan dengan ungkapan bahasa Melayu tidak dipinggirkan walaupun kita menguasai bahasa Inggeris atau bahasa Inggeris sangat penting tetapi bahasa Melayu tetap dimartabatkan.
Ini seolah-olah permainan “zero-sum game”. Gandingan dan bandingan seperti ini tidak perlu dinyatakan berulang-ulang.
Kesan negatifnya lebih kepada bahasa Melayu. Bagi bahasa Inggeris sedikit sahaja tempiasnya kerana umumnya rakyat Malaysia termasuk sebahagian pemimpin masih terjajah mindanya.
Seolah-olah jika mahu memartabat bahasa Melayu, bahasa Inggeris akan tewas atau bahasa Melayu harus ditewaskan jika mahu memperkasa bahasa Inggeris. Begitulah agaknya dalam benak golongan anglophiles yang mungkin “benak”.
Baca artikel lain: PM Anwar tegur kelompok elit taksub Bahasa Inggeris, fobia bahasa kebangsaan
Oleh itu, tepat sekali kata PMX yang beliau tidak mewakili pihak yang ingin mengurangkan penguasaan bahasa Inggeris kerana adalah kebenaran bahawa tiada seorang pejuang bahasa pun yang menentang penguasaan bahasa Inggeris selama tujuh puluh tahun ini.
Yang ditentang ialah usaha yang jelas secara langsung atau tidak langsung meminggirkan bahasa rasmi negara ini dengan menjulang bahasa Inggeris.
Misalnya melalui program PPSMI versi 2.0 iaitu Dual-language Programme; jenama produk; penamaan taman perumahan elit dan biasa; iklan komersial; kompleks niaga mega; program sukan serta sosial dan lain-lain.
Justeru, minda yang masih mengagungkan bahasa negara lain wajib dikikis sebagai tanda kita rakyat Malaysia benar-benar setia dan mencintai bahasa negara sendiri.
Pemimpin pula wajiblah menjadi suri teladan bahasa yang bagus melalui ucapan dan wawancara di media melalui penggunaan bahasa Melayu.
Nilai ekonomi bukan milik mutlak bahasa tertentu sahaja. Sebagai rakyat Malaysia, kitalah yang wajib memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu dan bukannya kepada bahasa lain.
Juga sudah tiba masanya bagi pihak berwajib dan kerajaan untuk merealisasikan segera usaha penukaran nama semua bandar utama di negara ini dengan nama bercitra tempatan dalam bahasa Melayu seperti mana Port Swettenham telah ditukar kepada Pelabuhan Klang; Port Weld kepada Lumut; Jesselton kepada Kota Kinabalu dan lain-lain.
Wajar sekali George Town ditukar kepada Tanjung atau Tanjung Penaga; Butterworth kepada Bagan dan Port Dickson kepada nama yang bercitra tempatan.
Selagi semua usaha di atas belum dilaksanakan sepenuhnya maka bahasa Melayu belumlah dimartabat dalam ertinya yang sebenar.
Penulis adalah Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

