KETUA Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyeru warga perkhidmatan awam supaya meningkatkan mutu kerja, komitmen dan dedikasi selaras pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Beliau berkata, era baharu perkhidmatan awam ditelusuri dan diperteguh SSPA yang memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.
Katanya, SSPA turut bertujuan mencetus lonjakan motivasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Dengan sistem gaji progresif di bawah SSPA, produktiviti mesti ditingkatkan. Tiada ruang untuk penjawat awam yang malas, culas dan cuai dan tiada lagi alasan untuk berada di takuk yang lama, tanpa inovasi, perubahan dan pembaharuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.
Baca artikel lain: Penjawat awam Kedah terima bantuan khas kewangan RM2,000 – Sanusi
Mengimbas kembali tempoh 100 hari pertama sebagai KSN, Shamsul Azri berkata langkah-langkah penting telah dilaksanakan untuk meletakkan asas kukuh dalam reformasi perkhidmatan awam.
“Pendekatan Associated (saling berkaitan) dan Integrated (bersepadu) yang menekankan kerjasama keseluruhan whole-of-government (keseluruhan kerajaan) dan whole-of-nation (keseluruhan negara) telah menyatukan usaha semua pihak, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. Pendekatan ini telah diterapkan secara berkesan sepanjang konvensyen ini,” katanya.
Shamsul Azri berkata pendekatan Associated menekankan penyertaan menyeluruh semua pihak (whole-of-nation) manakala pendekatan Integrated menekankan penyelarasan bersepadu (whole-of-government) antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Gabungan ini memastikan setiap suara didengari dan dijadikan asas untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan.
“Simbolik kepada pendekatan ini ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri,” katanya.
Shamsul Azri dilantik secara rasmi sebagai KSN pada 12 Ogos lepas menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang bersara wajib.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

