Kerajaan peruntuk RM9.46 juta laksana 52 Projek Cakna MADANI perkukuh mitigasi banjir di Sarawak

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM9.46 juta bagi melaksanakan 52 Projek Cakna MADANI di Sarawak tahun ini sebagai langkah memperkukuh usaha mitigasi banjir menerusi projek berimpak segera yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Tahun 2026.

Menurut kenyataan itu, daripada 52 projek yang diluluskan, 12 sudah siap, 13 sedang dalam pelaksanaan, manakala baki 27 lagi berada pada peringkat pra-pelaksanaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof, hari ini turut meninjau pelaksanaan kerja penstabilan tebing sungai di Tanah Perkuburan Tab Cinaq di Miri, yang merupakan antara Projek Cakna MADANI.

Projek bernilai RM134,682 itu bermula pada Mei lalu dan dijadual siap sepenuhnya pada November depan.

Skop projek merangkumi pembinaan tembok gabion sepanjang 50 meter bagi menstabilkan tebing sungai, mengurangkan hakisan serta melindungi infrastruktur dan kawasan tanah perkuburan daripada risiko runtuhan tebing.

Dalam lawatan sama, Fadillah turut mendengar taklimat mengenai kemajuan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri yang membabitkan kos keseluruhan RM31 juta.

Menurut PETRA, projek yang bermula pada Oktober 2023 itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 58.11 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.

Projek RTB Sungai Miri merangkumi pembinaan komponen tebatan banjir seperti tembok pasang surut (tide wall), kolam takungan, rumah pam, pintu kawalan banjir, sistem perangkap sampah, naik taraf sistem saliran serta pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal.

PETRA berkata, secara keseluruhannya Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 29 projek tebatan banjir di Sarawak dengan kos keseluruhan RM3.834 bilion.

Menurut kementerian itu, kerajaan kekal komited memperkukuh daya tahan negara terhadap risiko banjir menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kemampanan, kesejahteraan dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja lelaki maut terlanggar kerbau melintas jalan di Jelebu

DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi masing-masing merempuh seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan di Kilometer 11...

More Articles Like This