Terlepas hukuman mati, namun nyawa berakhir direnjat elektrik

Dari Penulis

Michael Anderson Sloan adalah bekas banduan. Dia pernah dipenjarakan pada 1977 kerana merompak seorang wanita dengan bersenjatakan pisau.

Pada 1980, Sloan ditahan lagi, kali ini atas tuduhan melakukan serangan seksual dan membunuh Mary Elizabeth Royem. Mayat gadis berusia 24 tahun itu ditemui di apartmennya, West Columbia, Amerika Syarikat dalam keadaan kepalanya luka parah dihentak dengan seterika besi.  

Perbicaraan ke atas Sloan bermula pada 1981. Dia didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan berkenaan dan dijatuhi hukuman mati di atas kerusi elektrik. Sloan membuat rayuan dan nasibnya baik apabila mahkamah membebaskannya daripada tuduhan serangan seksual. Oleh kerana itu, hukuman ke atasnya dikurangkan kepada penjara seumur hidup.

Penjara telah menginsafkan Sloan. Di situ Sloan menghabiskan masa dengan buku dan hasilnya, dalam tempoh enam tahun, dia berjaya memperolehi dua gulung ijazah Sarjana Muda. Atas kejayaannya itu, Sloan dianggap sebagai banduan contoh.

Dengan dua ijazah tersebut, Sloan berharap dia akan diberikan parol dan dengan parol tersebut, dia mahu menggunakan peluang dan ilmu yang ada untuk bekerja dengan golongan belia.  

Tapi entah kebetulan entahkan karma, walaupun dapat mengelak daripada mati di kerusi elektrik, Sloan mati juga akibat elektrik. Sel penjara Sloan kecil saja. Di situlah katil, di situlah tandas, televisyen dan semuanya.

Suatu hari, sambil duduk di mangkuk tandas yang diperbuat daripada logam, Sloan cuba membaiki fon telinga televisyennya. Dia memotong wayar fon telinga itu menggunakan mulut dan tiba-tiba… BBZZZZ!!!… dia disambar renjatan elektrik kerana fon telinga itu masih dipasang pada televisyen yang sedang terpasang.

Sloan mati dalam keadaan mulut dan lidahnya terbakar, sedang duduk di atas mangkuk tandas besi berkenaan.

Macam ni caranya dia mati…

Ini pula kisah Clement Vallandigham, bekas ahli kongres Amerika Syarikat. Sepanjang perkhidmatannya di Dewan Perwakilan pada 1853- 1863, Vallandigham sering mengkritik dasar dan tindakan Presiden Abraham Lincoln.

Malah Vallandigham pernah cuba membentuk Persekutuan Barat Laut (Northwest Confederacy) yang merangkumi Ohio, Kentucky, Indiana dan Illinois, tetapi usaha itu gagal mendapat sokongan.

Vallandigham kemudian bersara daripada politik, pulang ke Ohio dan meneruskan kariernya sebagai peguam. Pada Julai 1871, Vallandigham menjadi peguam bela kepada Thomas McGehan yang dituduh membunuh seorang lelaki bernama Tom Myers, dalam satu pergelutan.

Suatu hari selepas perbicaraan di mahkamah, Vallandigham cuba menguji kaedah pembelaannya yang mencadangkan bahawa McGehan sebenarnya tidak menembak Myers. Sebaliknya Myers secara tidak sengaja telah tertembak dirinya sendiri sewaktu mengeluarkan pistol berkenaan dari poketnya.

Selepas mengujinya dengan melakukan beberapa kali tembakan, Vallandigham bersama beberapa orang kawannya pulang ke hotel.

“Val, ada tiga butir lagi peluru dalam pistol kau. Elok kau keluarkan,” kata seorang kawannya.

“Kenapa pulak?” soal Valandigham.

“Untuk mengelakkan kemalangan. Bahaya, kau boleh tertembak diri kau sendiri.”

“Alah, tak bahayalah. Aku dah biasa bawa pistol yang ada peluru, di dalam poket.”

Di hotel, Vallandigham letakkan pistol yang berisi peluru tadi di atas meja di sebelah sebuah lagi pistol yang tidak diisi peluru. Pistol kedua itu telah digunakan semasa perbicaraan di mahkamah.

Valllandihgham kemudian sekali lagi menunjukkan kepada kawan-kawannya bagaimana Myers mungkin secara tidak sengaja telah tertembak dirinya sendiri sewaktu mengeluarkan pistol tersebut dari poketnya.

Tapi akibat terlalai, Vallandigham secara tidak sengaja telah terambil pistol yang berisi peluru, masukkan ke dalam poket, kemudian keluarkannya dan menghalakan muncung ke arah perutnya.

“Macam inilah cara Myers pegang pistolnya,” kata Vallandigham dan kemudian jari telunjuknya menyentuh picu pistol.

BANNGGG!!

“Oh Tuhan, aku tertembak diri aku sendiri,” jerit Vallandigham. Kejadian itu meragut nyawa Vallandigham.

Bagaimana pula dengan McGehan, tertuduh yang dibelanya itu? McGehan dibebaskan daripada tuduhan. Dia bagaimanapun mati empat tahun kemudian akibat ditembak dalam satu perkelahian!

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ulek Mayang, Kuda Kepang: ‘Saya rasa ada roh mahu masuk ke dalam tubuh’ – Sam Famulan 

"Saya tak takut hantu. Tapi saya takut apabila lagu itu dimainkan." Pengakuan itu kedengaran pelik, namun itulah pengalaman yang didakwa...

More Articles Like This