Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi platform pengajian tinggi, namun turut membuka peluang golongan professional melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, lokasi universiti yang berada di tengah kota Kuala Lumpur dan menawarkan kelas pengajian pada hujung minggu cukup sesuai buat golongan bekerjaya yang mempunyai kekangan masa.
Menurut beliau lagi, di antara keperluan utama untuk menjalankan ODL (Open Distance Learning) adalah mengenal pasti program pengajian yang mempunyai kebolehpasaran yang luas terutama dalam bidang pengurusan.
“UUM menjadi pemangkin dalam bidang pengurusan terutama di kawasan Lembah Klang dan kami mengharapkan lebih ramai individu atau agensi yang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD. Kami juga akan bersama-sama untuk menjayakan kaedah yang bercorak ODL dan kaedah lain yang akan dipusatkan di UUM KL bagi memudahkan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.
“Kami cuba memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dalam masa yang sama, UUM sentiasa memperbaiki ranking di mana pelajar lepasan UUM boleh berbangga kerana berada dalam ranking terbaik universiti dalam negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terus unggul dalam kelompok 100 Universiti Terbaik Asia dalam senarai Times Higher Education (THE), jelas Mohd Fo’ad lagi, universiti itu berjaya membuat lonjakan anak tangga sehingga berada dalam kelompok 100 Universiti Terbaik Asia. Keadaan ini secara tidak langsung memberikan imej positif akan kualiti pembelajaran yang dipraktikkan di UUM.
“Pelajar UUM akan membawa imej sebagai universiti ke-95 terbaik dunia dalam kategori umur 50 tahun ke bawah dan universiti ke-71 terbaik Asia untuk tahun 2024. Ranking ini sangat bermakna kerana secara tidak langsung memberikan gambaran akan kualiti pembelajaran yang lebih tinggi.
“UUM mempunyai kepakaran unik dan antara yang terbaik dunia dalam bidang pengurusan. Kami merupakan universiti terbesar dunia yang memfokuskan kepada bidang pengurusan di mana universiti mempunyai hampir 430 orang pensyarah pengurusan.
Pada masa yang sama, pihak UUM KL turut menerima sumbangan berjumlah RM680,000 dari pelbagai agensi bertujuan untuk meningkatkan kualiti prasarana dan program yang dijalankan.
“UUM KL telah menerima sumbangan berjumlah RM680,000 dan ia diagihkan kepada pelbagai aktiviti dan program antaranya untuk meningkatkan kebajikan dan keselesaan pelajar OKU di sini. Setakat ini, kami mempunyai seramai 118 pelajar OKU yang memerlukan bantuan asas dalam meneruskan pengajian.
“Malah hampir 70 peratus pelajar di UUM terdiri daripada golongan b40 dan kami telah membuat tapisan bagi memberi bantuan untuk mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh pengajian. Sumbangan yang diperoleh juga digunakan untuk meningkatkan beberapa prasarana yang perlu untuk kemudahan pelajar,” tambahnya lagi.
Pengarah Pusat Latihan Profesional dan Lanjutan, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar turut menambah, UUM KL menawarkan program APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) buat golongan bekerjaya melanjutkan pengajian walau dengan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Menerusi Pace UUM kami menawarkan peluang golongan bekerjaya untuk melanjutkan Pelajaran menerusi program APEL di mana jika mereka hanya memiliki sijil SPM, mereka layak untuk memohon Ijazah Sarjana Muda dengan syarat telah mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Kami sentiasa menggalakkan golongan bekerjaya untuk meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD. Bagi yang tidak memiliki ijazah, mereka boleh mengambil kursus secara separuh masa dengan menggunakan pengalaman kerja dalam bidang berkaitan,” katanya.

