Perhimpunan 6 Januari boleh ‘membakar’ perpaduan Kerajaan Madani 

Dari Penulis

Oleh HASSAN ABDUL KARIM

PADA  6 Januari 2025 di Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya akan diputuskan sama ada permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakimannya berkaitan isu Titah Adendum dibenarkan atau ditolak?

 Pada hari ini 28 Disember 2024 telah tersiar satu kenyataan dari Jabatan Peguam Negara yang mengandungi dua perenggan yang menyatakan sebarang permohonan berkenaan pengampunan diraja di bawah Perkara 42(1) dan Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

 Terdapat beberapa tafsiran daripada kenyataan media terbaru Jabatan Peguam Negara ini. Pertama, ia seakan-akan gangguan atau campurtangan oleh Jabatan Peguam Negara di bawah cabang Jabatan Perdana Menteri terhadap kes rayuan Najib Razak yang sedang dalam pertimbangan hakim-hakim di Mahkamah Rayuan.

 Sepatutnya pihak kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara mengelak daripada melakukan tindakan subjudis yang menjurus kepada menghina mahkamah terutama pada ayat terakhir dalam kandungan perenggan kedua kenyataan media tersebut yang membawa makna lain-lain kaedah seperti saluran mahkamah tidak boleh digunakan berhubung Perkara 42(1) dan Perkara 42(2) tersebut. Kandungan kenyataan media Jabatan Peguam Negara ini masih boleh dipertikaikan dari segi undang-undang keperlembagaan.

 Tafsiran kedua, adakah ia bermakna sekiranya permohonan kebenaran merayu pada 6 Januari 2025 nanti ditolak oleh Mahkamah Rayuan maka  Datuk Seri Najib Razak terpaksa membuat permohonan baru kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim?

 Ketiga, jika demikian tafsiran kenyataan Jabatan Peguam Negara tersebut adakah ia bermakna Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang lalu, Al- Sultan Abdullah sekiranya ia benar-benar wujud maka Titah Adendum itu tidak lagi relevan pada masa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sekarang? Apakah ini yang cuba disampaikan oleh kenyataan media dari Jabatan Peguam Negara tersebut?

 Nampaknya isu Titah Adendum ini akan menjadi isu panas yang boleh ‘membakar’ perpaduan Kerajaan Madani. Parti Pas cepat ‘menangguk di air keruh’ untuk mendapat laba politik dengan menggerakkan satu usaha  menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari 2025, iaitu sembilan hari lagi.

 Pas secara rekod mempunyai keupayaan untuk mengemblengkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan-perhimpunan besar sebelum ini.

 Pemimpin Bersatu melalui Ketua Wanitanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) telah menyatakan secara terbuka bahawa Bersatu tiada halangan jika anggota Bersatu akan turun ke jalan raya pada 6 Januari depan di Putrajaya.

 Dalam masa yang sama Dr Puad Zarkashi Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengalu-alukan sokongan Pas dan parti-parti lain terhadap isu pengampunan.

 Perhimpunan 6 Januari  2025 di Putrajaya jika menjadi kenyataan ia sudah pasti akan menggugat perpaduan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 Pemimpin Kerajaan Madani sekarang cukup faham kesan politik terhadap siri-siri perhimpunan raksasa oleh rakyat jelata. Contohnya perhimpunan Bersih 1 hingga Bersih 5 telah menjatuhkan kerajaan Naib Razak dan UMNO/ Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun sejak Merdeka.

 Begitu juga tentu sekali Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih ingat lagi bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad digoncang hebat dengan perhimpunan besar membantah isu ICERD dan Statut Rome anjuran bersama Pas dan UMNO sehingga akhirnya Kerajaan PH tersebut tumbang selepas jadi kerajaan hanya 22 bulan sahaja.

 Mungkinkah menyedari hal ini bagi mencari jalan penyelesaian dan supaya ada lorong keluar daripada mengelakkan ketegangan jika UMNO, Pas dan Bersatu bergabung tenaga dan suara pada 6 Januari 2025 menggugat Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim maka dikeluarkan kenyataan media oleh Jabatan Peguam Negara iaitu apapun berlaku di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 6 Januari 2025 kedudukan kes pengampunan terhadap Najib tidak menempuh jalan gelap memanjang. Mungkin ada sinar di hujung terowong. 

 Kenyataan media Jabatan Peguam Negara ini memberi isyarat awal bahawa permohonan pengampunan Najib Razak masih boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim.

 Sama-samalah kita lihat perkembangan terbaru ini. Adakah Najib berpeluang seperti kata perumpamaan dalam bahasa Inggeris, second bite of the cherry? Tetapi perlu dinyatakan dari segi kedaulatan undang-undang  bahawa second bite of the cherry adalah satu contoh salah guna proses undang-undang. Jika itu berlaku, adakah ia satu tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik?

  • * HASSAN ABDUL KARIM adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Artemis Accords bukan untuk hantar rakyat Malaysia ke bulan

PENYERTAAN Malaysia dalam Artemis Accords bukan bertujuan untuk menghantar rakyat Malaysia ke bulan kerana program itu tidak bertujuan ke...

More Articles Like This