PERINGKAT keperluan manusia mengikut kajian ahli sosiologi, Abraham Maslow melalui teori keperluan Maslow membincangkan mengenai fitrah perkembangan manusia.
Hirarki keperluan manusia yang dibincangkan Maslow berbentuk segi tiga piramid; keperluan asas yang perlu dipenuhi berada pada tahap bawah (tapak) adalah aspek fisiologi yang menjadi keutamaan dalam hidup.
Ia adalah tempat tinggal, makanan dan minuman. Peringkat seterusnya adalah dari aspek keselamatan (perlindungan), keyakinan (reputasi) dan apabila memenuhi kesemua keperluan tersebut, kita akan melangkah ke peringkat yang terakhir iaitu keinginan peribadi (personel fulfillment).
Justeru, antara aspek yang berada dalam kelompok peribadi adalah rekreasi dan ia termasuklah melancong, bercuti dan keinginan peribadi yang lain. Ini bermakna setelah memenuhi keperluan asas mengikut Teori Maslow, kita akan melangkah pada peringkat terakhir tersebut.
Menjelas lebih lanjut mengenai teori keperluan Maslow ini, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM, Shah Alam Selangor, Dr. Norliza Aminudin berkata, keperluan asas perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum ke peringkat seterusnya.
“Apabila kita mendapat pendapatan boleh guna (disposable income) setelah ditolak keperluan asas yang lain barulah kita akan agihkan pada personel fulfillment. Sama ada mahu membeli perhiasan, barang mainan untuk anak-anak, melancong dan sebagainya. Dalam konteks dana untuk melancong atau bercuti ia adalah perkara yang dirancang dan termasuk dalam personel fulfillment.
“Sekiranya kita mengamalkan konsep Melancong Penuhi Keinginan Peribadi menabung untuk tujuan itu ia adalah satu amalan yang positif. Bagaimanapun, seperti yang saya maklumkan tadi, perkara asas yang perlu kita salurkan sebelum memenuhi keperluan terakhir dalam hirarki keperluan Maslow ini, kita perlu selesaikan keperluan asasnya terlebih dahulu.
“Jangan pula kerana obses untuk melancong ke luar negara atas sebab-sebab tertentu, kita mengabaikan keperluan asas dalam hidup kita.
“Jika kita lihat pola pelancongan secara global, mereka yang banyak travel adalah individu daripada negara maju seperti Amerika, Eropah Barat dan Jepun. Ini kerana pendapatan boleh guna mereka adalah tinggi berbanding dengan rakyat dari negara sedang membangun atau negara dunia ketiga.
“Rakyat negara dunia ketiga masih berdepan dengan masalah untuk memenuhi keperluan asas mereka seperti tempat tinggal, makanan dan minuman. Malah aspek keselamatan diri juga menjadi halangan untuk mereka melancong,” jelas Dr. Norliza.

