Isu obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila statistik menunjukkan hampir separuh rakyat negara ini berada dalam kategori obes atau hampir obes.
Perkara itu didedahkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 yang berlangsung di Bandar Seri Mentara, Machang, Kelantan, pada 19 Jun, baru-baru ini.
Menurut beliau, gaya hidup tidak sihat yang diamalkan sebahagian masyarakat hari ini menjadi antara faktor utama peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
“Di Kelantan ini, antara negeri yang tinggi pesakit diabetes dan boleh dikatakan separuh rakyat Malaysia mengalami obesiti atau hampir obesiti.
“Hanya tiga daripada 10 orang rakyat Malaysia yang bersenam. Jadi kita banyak memperuntukkan wang untuk merawat penyakit tidak berjangkit.
“Penyakit ini berlaku kerana kita sendiri tidak menjaga pemakanan, makan lewat malam dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.



Ubah gaya hidup
Beliau berkata, perubahan gaya hidup perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai rakyat berdepan masalah kesihatan yang serius pada masa hadapan.
Menurutnya, berdasarkan saranan pihak kesihatan, seseorang individu digalakkan berjalan sehingga 12,000 langkah atau kira-kira enam kilometer sehari bagi membantu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
“Dengan amalan ini, kita dapat mengurangkan berat badan dan mengurangkan kolesterol.
“Harapan saya, program ini boleh menggalakkan kita semua menjalani kehidupan yang lebih sihat. Dalam masa sama, program seperti ini perlu diteruskan di kampung dan komuniti masing-masing,” ujarnya.


Cari masa bersenam
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Mohd Zamri Ibrahim berkata, aktiviti brisk walk atau berjalan pantas sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Namun katanya, ramai yang masih memberikan alasan sibuk sehingga mengabaikan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.
“Sebenarnya brisk walk ini bergantung kepada individu. Ada yang memberi alasan sibuk atau tidak sempat melakukannya.
“Namun kita sepatutnya cuba memberi komitmen dan sentiasa mencari ruang untuk melakukan aktiviti fizikal sebegitu.
“Seperti saya sendiri masih bermain bola dan melakukan aktiviti fizikal lain,” katanya.
Beliau turut berharap budaya berjalan kaki bersama keluarga pada waktu malam dapat dipupuk kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat.
“Dalam usaha kita menggalakkan orang ramai melakukan brisk walk bersama keluarga pada waktu malam, kita berharap aktiviti seperti ini dapat menyokong premis-premis perniagaan agar lebih maju,” katanya lagi.


‘Brisk walk sahaja tidak mencukupi’
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Al Farhain Medical Centre, Dr Afif Mohd Ridzwan menjelaskan bahawa brisk walk sering dikaitkan dengan konsep calorie deficit, iaitu keadaan apabila jumlah kalori yang dibakar lebih tinggi daripada kalori yang diambil melalui makanan.
Menurut beliau, apabila keadaan tersebut berlaku secara konsisten, tubuh akan menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga sekali gus membantu penurunan berat badan.
Bagaimanapun katanya, brisk walk sahaja tidak mencukupi jika pemakanan tidak dikawal.
“Ramai beranggapan berjalan laju boleh mengimbangi pengambilan makanan tinggi kalori seperti makanan bergoreng, manisan dan minuman bergula.
“Hakikatnya, jika kalori yang diambil masih melebihi kalori yang dibakar, seseorang masih berada dalam keadaan calorie surplus dan berat badan sukar untuk turun,” jelasnya.
Beliau memberi contoh sesi brisk walk selama 30 minit hanya mampu membakar sekitar 120 hingga 250 kalori bergantung kepada berat badan dan intensiti senaman.



Makanan bergoreng, minuman manis
Sebaliknya, satu hidangan makanan bergoreng bersama minuman manis boleh mengandungi kalori yang jauh lebih tinggi daripada jumlah tersebut.
Justeru katanya, kejayaan menurunkan berat badan banyak bergantung kepada disiplin dalam mengawal pemakanan selain melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.
Untuk rekod, program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 dengan slogan ‘Satu Hari, Seribu Manfaat’ dianjurkan oleh Al Farhain Medical Centre dengan kerjasama Majlis Daerah Machang dan Cek Dik Agency.
Selain aktiviti brisk walk, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya persembahan dikir barat, derma darah, pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma.
Bukan itu sahaja, pameran agensi dan usahawan tempatan, aktiviti komuniti untuk seisi keluarga dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik juga menjadi tarikan.
Satu hari, seribu manfaat
Lebih daripada sekadar program brisk walk, Mache Kita Bersama Komuniti 2026 membuktikan bahawa perubahan besar boleh bermula dengan langkah yang kecil.
Di sebalik ribuan langkah yang dihayun peserta, terselit satu mesej yang cukup jelas iaitu kesihatan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli apabila hilang, sebaliknya perlu dipelihara mulai hari ini.
Dalam era di mana obesiti, diabetes dan penyakit tidak berjangkit semakin meningkat, kesedaran untuk mengubah gaya hidup perlu bermula daripada diri sendiri.
5,000 pengunjung
Penganjuran program yang menghimpunkan hampir 5,000 pengunjung ini turut memperlihatkan bagaimana aktiviti komuniti mampu menjadi medium terbaik untuk menyatukan masyarakat sambil menyemai budaya hidup sihat.
Pada masa sama, ia membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali potensi Bandar Seri Mentara sebagai sebuah kawasan pembangunan baharu yang semakin berkembang.
Dengan gabungan aktiviti kesihatan, kebajikan, hiburan rakyat dan penglibatan komuniti, Mache Kita Bersama Komuniti 2026 bukan sekadar meninggalkan kenangan kepada para pengunjung, malah menjadi simbol bahawa masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu merupakan asas kepada pembangunan negeri dan negara yang lebih sejahtera.
Bak kata slogan program ini, ‘Satu Hari, Seribu Manfaat’, impaknya diharapkan mampu memberi inspirasi untuk sepanjang hayat.
Info program
Program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap program berteraskan kesihatan, komuniti dan kesejahteraan rakyat.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform memupuk kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat, malah berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat, agensi kerajaan, sektor kesihatan dan komuniti setempat.

