Mencegah vagina berbau hanyir. ‘Bacterial vaginosis’ , jangkitan vagina biasa bagi wanita.

Dari Penulis

Bersama DATUK DR. NOR ASHIKIN AHMAD MOKHTAR MD (UKM), Masters O&G (MAL), FRCOG (UK) Pengerusi & Pengasas Pusat Perubatan PrimaNora.

Penyakit yang biasa di hadapi oleh banyak pesakit yang datang ke klinik saya ialah ‘bacterial vaginosis’.

‘Bacterial vaginosis’ adalah sejenis jangkitan vagina yang disebabkan oleh pertumbuhan bakteria di dalam vagina. Vagina biasanya mengandungi bakteria ‘baik’ yang membantu mengekalkan keseimbangan sistem imun badan. Bagaimanapun, terdapat keadaan yang menyebabkan bakteria normal ini terganggu dan digantikan dengan bakteria ‘jahat’.

Pada masa lalu, keadaan ini dipanggil ‘gardnerella vaginitis’ yang disebabkan oleh bakteria gardnerella. Bagaimanapun, ahli-ahli sains menemui bentuk jangkitan ini bukan hanya disebabkan oleh satu spesies bakteria tetapi kombinasi daripada pelbagai jenis spesies bakteria di dalam vagina.

Nama terbaru adalah ‘bacterial vaginosis’ yang menunjukkan fakta bahawa terdapat sejumlah spesies bakteria yang hidup di dalam vagina dan mungkin terus berkembang.

Apabila populasi berganda ini menjadi tidak seimbang, seseorang wanita boleh mempunyai lelehan vagina seperti berbau ‘hanyir’ yang busuk. ‘Bacterial vaginosis’ adalah jangkitan vagina paling biasa bagi wanita pada umur reproduktif. Ia bukanlah satu jangkitan yang berbahaya tetapi ia boleh mengakibatkan kualiti kehidupan wanita terganggu. Jangkitan ini boleh dirawat dengan mudah oleh doktor anda.

BAGAIMANA JANGKITAN INI BERLAKU?

Terdapat faktor-faktor tertentu yang boleh meningkatkan risiko mendapat ketidakseimbangan bakteria. Jika seorang wanita mempunyai ramai pasangan seksual atau pasangan baru, risiko mendapat jangkitan ini adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu jangkitan yang dihantar melalui persetubuhan, wanita yang belum melakukan persetubuhan atau mempunyai perhubungan monogami juga boleh mendapat ’bacterial vaginosis’.

‘Vaginal douching’ iaitu membilas vagina dengan cecair dan menghisap rokok adalah dua amalan yang mudah meningkatkan risiko jangkitan bakteria ini.

Terdapat sesetengah konsep salah yang perlu diperbetulkan dimana ‘bacterial vaginosis’ tidak berlaku daripada penggunaan tandas duduk, tilam, kolam renang atau daripada sentuhan objek di sekeliling kita.

APAKAH TANDA-TANDA JANGKITAN BERLAKU?

Tanda-tanda biasa jangkitan ‘bacterial vaginosis’ adalah lelehan vagina yang tidak normal bersama bau yang kurang menyenangkan.

Setiap wanita adalah normal mempunyai sejumlah tertentu lelehan vagina, tetapi anda perlu berjaga-jaga apabila terdapat pengeluaran lelehan yang lebih banyak daripada biasa terutamanya selepas persetubuhan. Ia mungkin mempunyai cecair yang cair dan berwarna putih kekelabuan.

Bagi sesetengah wanita, lelehan mungkin akan bersama bau yang tidak menyenangkan seperti bau hanyir. Gejala-gejala lain termasuk berasa pedih ketika membuang air kecil atau gatal di sekitar sebelah luar vagina. ‘Bacterial vaginosis’ mungkin menjadi asimptomatik iaitu berlaku tanpa sebarang tanda.

Tanda-tanda di atas mungkin disebabkan oleh jangkitan lain yang boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius. Oleh itu adalah amat penting melakukan pemeriksaan apabila terdapat tanda-tanda tersebut.

SEMASA DI KLINIK

Apabila anda berjumpa dengan doktor dengan tanda-tanda di atas, doktor akan memastikan bahawa anda tidak mempunyai keadaan lain yang serius dengan memeriksa anda tidak mempunyai demam, kesakitan pelvis atau Sejarah penyebaran jangkitan melalui persetubuhan.

Doktor akan melakukan satu pemeriksaan pelvis untuk memeriksa keadaan lapisan vagina, servik, ovari dan uterus. Semasa pemeriksaan pelvis, doktor akan mengambil satu specimen rembesan lapisan vagina anda untuk memeriksa sama ada terdapat jangkitan ‘Chlamydia or Neisseria gonorrhoeae’.

Jangkitan vagina (vaginitis) boleh juga disebabkan oleh jangkitan kuman selain bakteria yang menyebabkan penyakit yang mana doktor anda akan memeriksa lelehan vagina untuk melihat vaginitis disebabkan kulat (juga dikenali ’candidiasis’) atau  ‘trichomoniasis’ (disebarkan melalui persetubuhan disebabkan oleh kuman ‘Trichomonas vaginalis’) untuk memastikan rawatan yang perlu diberikan.

‘Bacterial vaginosis’ boleh diubati tanpa sebarang kompilasi jika diberi rawatan yang betul. Oleh kerana ia disebabkan oleh bakteria, antibiotic adalah rawatan yang paling baik.

Kebiasaannya antibiotik yang biasa digunakan adalah jenis ‘metronidazole’ dan ‘clindamycin’ yang diberi dalam bentuk pil atau seperti gel atau krim yang disapu ke vagina. Pil-pil antibiotik mungkin memberi kesan sampingan kecil, manakala gel boleh menyebabkan yis vaginitis berlaku kesan sampingan.

Beberapa pesakit kembali ke klinik dengan perulangan jangkitan ‘bacterial vaginosis’ walaupun antibiotik telah merawat jangkitan pertama. Ini adalah normal walaupun punca masih tidak dapat diketahui. Apabila ini berlaku semula doktor akan memberi jenis antibiotik yang lain.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This