“Solat adalah kewajipan, bukan pilihan. Mengabaikan ibadat ini adalah satu kerugian besar buat diri kita,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Madad International Sdn Bhd, Ustaz Muhammad Yaakub Yusra ketika melancarkan produk terbaharu syarikat, Jam Azan MADAD Promas.
Tegasnya, biarpun solat yang diabaikan tidak memberi kesan kepada Islam kerana Allah sentiasa memeliharanya, namun impaknya amat besar terhadap umat manusia.
“Islam tidak akan rugi kerana Allah Maha Berkuasa memeliharanya tetapi bagaimana kita sebagai hamba-Nya menjaga amanah ini?
“Salah satu cara ialah dengan sentiasa mengingati waktu solat. Jam Azan MADAD ini direka untuk membantu kita melaksanakan kewajipan ini sambil menjadi peringatan harian untuk memperbaiki diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jam Azan MADAD di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Jam Azan MADAD membawa elemen keunikan suasana masjid ke dalam rumah dengan rekaan moden serta fungsi mesra pengguna.
Kata Yaakub, jam tersebut turut mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Kemajaun Islam Malaysia (Jakim).
“Jam ini bersaiz lebih kompak, iaitu 15 inci x 12 inci dengan harga RM298 seunit lebih mampu milik berbanding produk sama di pasaran.
“Paling penting, ia telah mendapat kelulusan daripada KDN serta pengesahan Jakim bagi memastikan waktu solat yang dipaparkan adalah tepat,” ujarnya.
Selain itu, jam azan MADAD turut didatangkan dengan ciri-ciri seperti peringatan sebelum azan, bacaan surah dimainkan selama 10 minit seblum masuk waktu solat.
Ia turut hadir dengan zikir harian yang membantu pengguna sentiasa mengingati Kalamullah.

Sebanyak sembilan reka bentuk tersedia termasuklah imej Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
MADAD juga merancang untuk memperkenalkan versi jam pintar yang kini dalam peringkat prototaip.
Jam tersebut akan berfungsi sebagai diari solat, membolehkan pengguna menyemak waktu mendirikan solat dan menilai sama ada ia dilakukan pada awal atau lewat waktu.

“Inilah bukti bagaimana kita mengekspoitasi teknologi moden untuk mengukuhkan amalan ibadah.
“Ia bukan sekadar jam tetapi panduan harian untuk memperbaiki diri,” katanya.
Katanya, untuk pengeluaran pertama ini, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,000 unit yang sudah ditempah secara pra-tempahan.
“Fasa pertama ini agak terhad sedikit pengeluaran sebab kita masih diperingkat ‘research and development’ walaupun sudah ada ratusan unit yang sudah ditempah secara ‘online’.
“Untuk pengeluaran kedua nanti kami akan pasarkan sebanyak 5,000 ke 10,000 unit sebab kami sudah ada penaja yang telah membuat pelaburan bagi bersama-sama terlibat dalam projek ini,” kongsinya lagi.
Jelas Yaakub yang juga panel jemputan Tanyalah Ustaz di TV2, jam Azan MADAD dibangunkan dengan kerjasama Promas Sdn Bhd, sebuah syarikat berpengalaman lebih 19 tahun dalam membekalkan jam azan kepada masjid dan surau di seluruh negara.
“Operasi pengeluaran kini dikendalikan sepenuhnya oleh Madad International Sdn Bhd, dan kualiti jam ini dijamin dengan waranti selama dua tahun.
“Lebih istimewa, walaupun selepas lima atau enam tahun, kami masih bersedia membaiki sebarang kerosakan tanpa sebarang caj,” katanya.
MADAD kini mengambil alih operasi Promas termasuk aspek pengurusan dan pentadbiran. Syarikat terbabit berhasrat untuk memastikan setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya satu Jam Azan MADAD sebagai usaha membantu umat Islam menjaga waktu solat dengan lebih baik.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

