
APABILA Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, Pas akan menjadi pilihan orang Melayu jika UMNO masih lagi gagal bangkit untuk mendapatkan kembali kepercayaan kaum tersebut ia bukan sekadar pendapat.
Sebaliknya apa yang dikatakan oleh Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu selari dengan apa yang sedang berlaku dalam arena politik sekarang ketika UMNO terus dibuai keseronokan berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Berbuallah dengan sesiapa sahaja, tanyalah mana-mana orang Melayu mengenai UMNO pasti jawapan yang diperolehi membayangkan bahawa parti Melayu yang hilang kuasa memerintah negara sejak 2018 dan sudah tewas dua kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Umum iaitu PRU-14 dan PRU-15 tidak akan mampu bangkit dalam PRU-16.
Lebih buruk daripada itu, sudah ada analisis yang menunjukkan selain Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu akan terus kekal dalam genggaman Pas, dua lagi negeri iaitu Pahang dan Perak boleh dianggap berada di ambang pintu Pas.
Itu belum lagi mengambil kira sokongan UMNO di Melaka yang dikatakan akan agak tidak selamat untuk parti itu jika Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.
Selain itu ada sumber memaklumkan PRU-16 akan menjadi medan yang akan menyaksikan pengundi Cina akan menyebelahi DAP, sebahagian pengundi bukan Melayu lain berpihak kepada PKR manakala pengundi Melayu akan bersama Pas yang akan bekerjasama dengan Bersatu.
Jadi bagaimana dengan UMNO? Selagi parti itu tidak melakukan perubahan dari segi kepemimpinan negeri dan pusat serta dilihat sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan, percayalah nasib buruk parti itu dalam PRU-16 seperti mana diramalkan akan menjadi kenyataan.
UMNO tidak mampu bangkit sendirian sebab itulah berkali-kali pemimpin-pemimpinnya bercakap soal meneruskan kerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan bagi menghadapi PRU-16 atau mana-mana pilihan raya yang diadakan.
Ia memandangkan UMNO sudah tahu bahawa sokongan orang Melayu kepada parti sudah semakin terhakis dan tanpa sokongan daripada sahabat-sahabat dalam PKR,DAP dan Amanah, pencapaian UMNO dijangka merudum lebih teruk berbanding PRU-15.
Tercetus beberapa isu yang memaparkan bagaimana ‘hebatnya’ DAP dalam kerajaan sedikit sebanyak turut menjejaskan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Walaupun Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh cuba bersuara sehingga terpaksa ‘berperang’ dengan pemimpin DAP, namun tidak mustahil akhirnya nasib ADUN Merlimau itu akan menjadi seperti ‘Hang Jebat’ – berjuang sendirian menegakkan kebenaran.
Kalaupun ada yang bersuara, itupun sekadar ‘menyerang’ Pas dan Bersatu sejak dulu, kini dan selamanya. Tak boleh ada sikit isu melibatkan kedua-dua parti maka ‘terlompat’ si pemimpin yang menjadi ADUN di sebuah negeri di selatan itu.
Senario yang berlaku itu tidak akan menguntungkan UMNO kerana akan dilihat sebagai parti lemah dalam kerajaan, tidak berani bersuara dalam isu-isu khususnya melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu.
Penulis bukanlah mahu melihat UMNO bergaduh dengan sahabat-sahabat mereka dalam kerajaan tetapi cukup sekadar beri isyarat kepada DAP supaya ‘jangan naik tocang’. Ia memandangkan parti-parti lain seperti PKR dan Amanah tidak bersikap demikian.
Tetapi setakat ini, UMNO dilihat gagal menonjolkan mereka menjadi harapan orang Melayu apatah lagi menjadi suara orang Melayu dalam kerajaan. Sebaliknya, UMNO hanya berbangga menjadi parti Melayu tunggal dalam kerajaan tetapi sekadar ‘tukang tepuk’ dan ‘tukang ikut’ saja.
Ini bukan penulis yang kata sebaliknya itulah pandangan sebahagian besar orang Melayu terhadap UMNO dan jangan terkejut ada pemimpin UMNOpun mempunyai pendapat yang sama!
Jadi apa lagi UMNO tunggu…buatlah sesuatu sebelum terlambat, buktikan parti itu tetap akan jadi pilihan orang Melayu dalam pilihan raya atau parti itu terus layu dalam PRU-16.
Tidak mengapalah mahu berdiam diri dalam isu ‘sandwich’ tetapi jangan sampai dalam pilihan raya itu, UMNO ‘disandwichkan’, tetapi bak kata seorang kawan..’’sekarangpun sudah jadi ‘sandwich’ dah’’ – sama ada betul atau tidak, persepsi atau tidak..hanya pemimpin UMNO sahaja tahu realitinya.

