Dominan apa yang UMNO buru dałam PRU-16?

Dari Penulis

 KE MANA  arah tuju UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kembali dominan dengan  menjadi parti yang paling banyak kerusi dan seterusnya menjadi tonggak utama pemerintahan negara  termasuk menguasai jawatan Perdana Menteri atau terus berharap akan dijemput lagi menjadi sebahagian kerajaan walaupun memenangi  hanya 26 kerusi?

Persoalan ini dilontarkan berikutan kenyataan  Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Dr.Puad Zarkashi  yang menyifatkan pemikiran politik Dr. Mohamad Khir Toyo sebagai ‘ketinggalan’  apabila bekas Menteri Besar Selangor itu yang menyertai Bersatu menegaskan UMNO tidak akan kembali dominan selagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Kata  Puad perkongsian kuasa di peringkat persekutuan dan mentadbir Perak, Melaka, Johor, dan Pahang merupakan permulaan yang baik untuk UMNO.

“Tiba-tiba dia bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor. Ternyata pemikiran politik Khir baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan.,” katanya di Facebook.

Seiring realiti ini, kata Puad, ‘dominan’ harus bererti dominan dalam agenda rakyat, menteri berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten.

“Ia tidak lagi bergantung pada nombor semata-mata,” katanya, dan menambah politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan.

Adakah maksudnya, UMNO tidak perlu lagi berusaha memenangi lebih banyak kerusi untuk dominan sebaliknya terus menjadi salah satu parti dalam memerintah kerajaan, walaupun memenangi beberapa kerusi sahaja dalam pilihan raya?

Kalau merujuk kepada ucapan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO Ogos tahun lalu, Presiden UMNO menggariskan empat perkara penting untuk parti itu dominan kembali .

“Pertama, kita mesti dominan daripada segi bilangan kerusi. Ini menuntut semua UMNO  bahagian yang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kalah, perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.

“Kedua, kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian, perkara ketiga perlu dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera manakala keempat UMNO juga mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,’’ kata Ahmad Zahid.

Pada 2 Mei 2025, ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, UMNO perlu menjadi dominan semula dengan memenangi kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan parti politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

 Penulis tertanya-tanya dominan mana ‘yang diburu’ oleh UMNO dalam PRU-16 nanti, adakah mahu dominan dari segi kerusi atau mahu dominan dari segi suara didengari atau dominan mempunyai kuasa dalam perundingan. Tetapi untuk mencapai apapun bentuk dominan, UMNO perlu ingat senario dalam pilihan raya akan datang sudah berubah.

Jika sebelum ini UMNO dan BN bertanding solo yang sekaligus membolehkan mereka menentukan secara mutlak kerusi mana yang mahu ditandingi tetapi kali ini dengan pendirian UMNO setakat ini akan bersama Pakatan Harapan turun ke gelanggang PRU-16, penulis tidak nampak ruang untuk UMNO kembali dominan bukan sahaja dari segi angka tetapi juga ‘’dominan dalam agenda rakyat, menteri berprestasi tinggi, berprinsip dan konsisten’’.

Penulis tidak yakin PKR, DAP dan Amanah ‘akan membenarkan’ UMNO-BN memenangi lebih banyak kerusi sehingga membolehkan mereka menjadi penentu siapa menjadi Perdana Menteri dan menduduki portfolio-portfolio penting dalam Kabinet. Walaupun ketika ini dengan memiliki 26 kerusi, UMNO mempunyai tujuh orang menteri dan  enam timbalan menteri namun ia bukan dilihat portfolio penting. 

 Ada pemimpin UMNO yang cukup berpengalaman  sebagai menteri dan menang pilihan raya  bukan dilantik sebagai Senator hanya menjadi Timbalan Menteri tetapi  tidak mengapa kerana ia merupakan antara empat erti dominan yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid iaitu ‘’dominan dalam perundingan.’’ 

Namun untuk PRU-16 UMNO perlu terlebih dahulu mengenalpasti dominan mana yang menjadi keutamaan mereka . Kalau ‘dominan tidak lagi bergantung kepada nombor semata-mata’ seperti mana kata Puad, apakah dominan yang diburu oleh UMNO dalam pilihan raya tersebut?

Faktanya memenangi kerusi terbanyak merupakan dominan paling penting kerana menjadi penentu kepada tiga lagi dominan yang digariskan oleh Ahmad Zahid. Hujah mengatakan  dominan bukan lagi sekadar nombor atau angka adalah hujah dangkal. Kalau begitulah hujahnya betullah  kata orang, pemimpin UMNO tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan UMNO merupakan parti Melayu terbesar di negara ini.

Ia memandangkan walaupun mempunyai ahli seramai 3.5 juta – paling ramai berbanding semua parti- namun pencapaian UMNO dalam PRU-15 cukup menyedihkan. Mereka hanya menenangi 26 kerusi Parlimen dan ketika ini menguasai secara mutlak dua negeri sahaja iaitu Melaka dan Johor serta mengharapkan ihsan parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk menjadi Menteri Besar di Perak dan Pahang.

Nasib UMNO mungkin akan lebih buruk lagi dalam pilihan raya umum akan datang jika pemimpin UMNO tidak bersungguh-sungguh untuk memburu memenangi kerusi paling banyak berbanding parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. Dominan dalam perundingan yang diuar-uarkan oleh Ahmad Zahid akan teruji apabila perundingan bagi pembahagian kerusi dalam PRU-16 dijalankan.

Ketika itu sama-samalah kita lihat sama ada UMNO benar-benar bijak dalam perundingan demi memastikan mereka berpeluang kembali dominan dalam erti kata sebenar atau membuka ruang untuk terus kekal menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan seperti ketika ini. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas tak bantu kempen Bersatu di PRN Johor

PAS yang sebelum ini mengumumkan untuk membatalkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan membantu kempen...

More Articles Like This