LANGKAH Malaysia menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza menonjolkan kedudukan sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, projek tersebut bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif.
Justeru, beliau menyeru semua rakyat Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Malaysia yang bakal mencipta sejarah sebagai negara ASEAN pertama melancarkan projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan itu.
Beliau berkata, usaha itu juga menunjukkan komitmen Perdana Menteri dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.
“Lebih membanggakan dana bantuan ini datang daripada sumbangan bebas dan sektor korporat yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.
“Ia adalah cerminan Malaysia MADANI yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin.
“Kita sekarang di fasa bukan sekadar menggantung bendera Palestin tapi bersedia untuk membantu saudara seIslam kita yang mula berada di fasa pemulihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Ahmad yang lebih dikenali sebagai Altimet mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan diterima Perdana Menteri sehingga memperlekehkan usaha murni itu.
Baca artikel lain: Malaysia negara ASEAN pertama bakal bangunkan Bandar Wakaf di Gaza di bawah naungan Perdana Menteri
Sebagai rakyat yang bijaksana, jelas beliau, rakyat harus mengetepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat.
“Seperti kata pepatah, ‘Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’. Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia.
“Projek Bandar Wakaf ini adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia,” katanya.
Altimet berkata, pembinaan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza itu tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin tetapi juga harapan baharu untuk masa depan mereka.
“Saya menyeru semua pihak sama ada rakyat biasa, sektor swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyokong projek ini.
“Bantulah usaha ini dengan keyakinan bahawa ‘tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima’,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Malaysia akan membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadan.
Projek berimpak tinggi itu berada di bawah naungan Anwar selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
Langkah ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan tetapi juga memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

