Suatu ketika dahulu, seorang pedagang keluar berniaga dengan membawa dua ekor keldai. Keldai hitam dan keldai putih. Keldai hitam ini berasa dirinya lebih bertenaga berbanding kawannya. Untuk itu, ia sentiasa cuba menarik perhatian tuannya dengan mengangkat beban yang lebih banyak serta berjalan lebih pantas berbanding keldai putih.
Sebaliknya, keldai putih berjalan pada kelajuan yang biasa dan mengangkat barang dagangan setakat yang termampu sahaja. Pedagang mula marah kerana keldai putih tidak setangkas keldai hitam, lalu dia pun memukulnya.
Malam itu sewaktu mereka berehat, keldai putih datang mendekati keldai hitam.
“Kawanku…hanya kita berdua saja di sini, jadi kenapa kita nak bersaing sesama sendiri? Bukankah elok kalau kita bawa barang yang sama berat, berjalan sama-sama…” kata keldai putih sambil menggosok badannya yang teruk dibantai pedagang.
Tetapi keldai hitam tidak mengendahkannya, malah esoknya dia berjalan lebih laju lagi dan membawa lebih banyak barang. Dia tersenyum bila dipuji tuannya dan gembira apabila melihat keldai putih dimarah serta dipukul kerana tidak berjalan pantas dan membawa barang sebanyak dirinya.
Tetapi hari-hari berikutnya, keldai hitam berasa tenaganya mulai susut. Seluruh badannya sakit-sakit dan dia tidak mampu untuk berjalan selaju dulu. Suatu petang, ketika matahari sedang terik, keldai hitam terjerembap ke tanah. Dia tidak mampu lagi untuk bangun walaupun teruk dipukul dan dimarah tuannya.
Pedagang meradang kerana perjalanan merentas bukit bukau itu masih ada beberapa hari lagi, sedangkan keldai hitam sudah tidak mampu lagi untuk bangun. Lantas pedagang itu pun mengeluarkan pisau.
Sebelum keldai hitam disembelih, kawannya si putih datang dan berbisik. “Kawan, aku sudah katakan dulu, jangan suka menunjuk-nunjuk untuk mendapatkan pujian, jangan malukan sahabat sendiri dan jangan berasa gembira bila melihat sahabat ditekan atau ditindas. Aku sudah pesan padamu banyak kali, tapi kau tidak mahu dengar. Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kau lagi…”
Keldai hitam menangis dan beberapa minit kemudian, dia pun disembelih…

__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

