Wanita yang rentung dalam kebakaran bersama empat anaknya di Kampung Berangan Enam, Umbai, di Jasin awal pagi tadi sedang hamil lima bulan.
Ibu kepada Laila Fathinah Mustapa, 37, Ruziha Osman, 60, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, anak sulungnya itu kini sedang hamil anak ketujuh.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan berhubung kejadian tragis yang meragut nyawa anak serta cucu-cucu kesayangannya memandangkan mereka baru sahaja berjumpa malam tadi, lapor Astro Awani.
“Anak saya bersama lima anaknya serta suami terlibat dalam kemalangan kereta pada 30 Januari lalu dan rentetan kejadian itu, salah seorang anak perempuannya yang berusia lapan tahun saya bawa pulang ke Puchong berikutan perlu mendapatkan beberapa rawatan susulan.
“Laila Fathinah kemudian ada datang ke rumah saya bersama anak-anaknya yang lain pada Selasa lalu dengan menaiki bas dari Melaka Sentral dan saya kemudian hantar mereka pulang ke Melaka malam tadi. Itu kali terakhir kami bersua muka,” katanya sambil menyeka air mata.
Tambahnya, dia pada awalnya menyangka ianya hanya kebakaran biasa, namun tersentak apabila mendapat khabar anak serta empat cucunya rentung dan gagal diselamatkan.
“Saya memang terkejut kerana kami baru sahaja bergelak ketawa sepanjang perjalanan ke Melaka dan mereka juga tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Anak ketiga Laila Fathinah yang berusia lapan tahun itu ikut semula saya pulang ke Puchong dan ketika dalam perjalanan ke Hospital Jasin ini saya maklumkan ibu serta empat beradiknya sudah tiada, namun dia seperti kebingungan,” tambahnya lagi.
Laila Fhatinah turut mempunyai seorang lagi anak perempuan yang berusia 18 tahun.
UtusanTV sebelum ini melaporkan, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4 rentung dalam kebakaran rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai awal pagi tadi.
Manakala suaminya, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, terselamat dan menerima rawatan di Hospital Jasin.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

