Ditanam mengerekot, makam puntianak, mumia menjerit & makan daging manusia. Penemuan arkeologi ini bongkar sisi peradaban manusia zaman dahulu

Dari Penulis

Penemuan dua buah lubang kubur besar pada Jun 2009 di pesisiran pantai di Weymouth, Dorset di England telah mengejutkan para ahli arkeologi. Ia membabitkan sebuah lubang kubur berisi kira-kira 54 tulang rangka manusia, dan sebuah kubur lagi dengan 51 tengkorak manusia.

Ahli arkeologi berpendapat tulang rangka itu mungkin golongan lanun atau pedagang laut Scandinavia pada Zaman Pertengahan, lebih kurang antara abad ke-5 hingga abad ke-10. Mangsa-mangsa ini mungkin dibunuh dalam keadaan telanjang.

Dalam jangka masa abad tersebut, dipercayai lanun Scandinavia berselisih faham dengan penduduk tempatan bangsa Anglo-Saxons yang membawa kepada pembunuhan ngeri tersebut.

Penemuan rangka dan tengkorak itu didapati ada di antaranya mempunyai kesan tetakan yang banyak pada tulang rahang dan tulang rusuk. Namun, tiga tengkorak didapati hilang dan tidak dikebumikan bersama rangka. Tanggapan awal, mungkin tengkorak yang hilang itu ialah manusia yang mempunyai status hierarki yang tinggi. Oleh itu, tengkoraknya dijadikan sebagai barang perhiasan.

Mumia Menjerit

Ini pula kisah pada tahun 1886, seorang lelaki bernama Gaston Maspero membuka keranda kayu dan balutan mumia di Mesir. Dia menemui wajah mumia lelaki yang kelihatan seolah-olah sedang menjerit. Mumia ini digelar ‘Screaming Mummy’. Jabatan Antikuiti Mesir menamakan lelaki itu sebagai Man E.

Punca kematian disiasat. Ahli arkeologi ingin tahu siapakah Man E dan mengapa dia mati sedemikian rupa. Keranda Man E ditemui dalam sebuah gua di Deir El Bahri, di selatan Cairo bersama puluhan keranda diraja lain.

Dalam tradisi kepercayaan masyarakat Mesir kuno, keranda yang bernama merupakan satu kebanggaan untuk meraih kehidupan baik di akhirat. Begitu juga sebaliknya.

Keranda kayu Man E tidak bernama, menyebabkan penemuan wajahnya dalam keadaan begitu menimbulkan tiga teori berkaitan kematiannya. Pertama, Man E mungkin sekali seorang pegawai kerajaan. Begitu juga dengan penggunaan alat pemumiaannya yang menyerupai orang awam. Walau bagaimanapun, teori ini ditolak kerana Man E dijumpai bersama dengan keranda golongan diraja.

Teori kedua, Man E mungkin seorang putera raja negara lain yang telah mati di Mesir. Tetapi, ahli arkeologi mengesahkan susuk tubuh dan tulang-temulang Man E menunjukkan lelaki itu merupakan orang Mesir tulen.

Teori ketiga pula paling banyak disokong. Man E mungkin seorang putera raja Mesir yang telah mati pada masa pemerintahan Firaun Remses III. Jika benar, Man E mungkin Putera Pentewere, iaitu putera yang cuba menaiki takhta dengan merancang pembunuhan ayahnya sendiri.

Sebab itu Man E dihukum bunuh namun diberi keringanan kerana merupakan seorang putera raja. Dia diberi minum racun dan mati dalam keadaan menjerit begitu kerana menahan bisa racun yang meragut nyawanya. Sejauh mana kebenaran ketiga-tiga teori ini, masih tidak dapat dipastikan.

Makam Puntianak

Berlainan pula kisah pada abad ke-13 di Perperikon, iaitu tapak kuno Thracia (kawasan di tenggara Balkan). Mayat penduduknya yang berbuat jahat akan ditanam dengan tusukan besi pada dada mereka. Ini merupakan kepercayaan lama, supaya roh orang jahat tidak kembali ke dunia sebagai ‘puntianak’ yang akan mengganggu keharmonian penduduk kampung.

Pada hari ini, tempat tersebut merupakan sebahagian dari Bulgaria, dan mayat mereka yang pernah menjalani hukuman tersebut (makam puntianak) telah ditemui oleh ahli arkeologi, Nikolai Ovcharov.

Menurut Ovcharov, cara kematian tersebut juga digunakan terhadap mayat penduduk yang mati dengan membunuh diri. Ovcharov menemui sebuah kubur seorang wanita dan anak kecil dalam pelukannya yang juga ditanam dengan cara yang serupa. Ia bertujuan untuk menyekat wabak penyakit yang dihidapi mereka daripada tersebar kepada orang ramai. Kebanyakan kubur puntianak ini dijumpai pada tahun 2012 dan seterusnya 2014.

Puak Kanibal

Para ahli arkeologi yang membuat kajian mendapati kes kanibal ditemukan dalam peradaban manusia purba Neanderthal. Jauh di dalam hutan Ardennes di Belgium. Christian Casseyas yang merupakan ahli arkeologi Belgium menemui sebuah gua yang merupakan kediaman puak kanibal sekitar 40,000 hingga 50,000 tahun yang lalu.

Selain berpesta daging kuda dan daging rusa, mereka juga berpesta daging manusia. Beberapa tulang manusia ditemui dipotong dengan cara yang sama seperti daging rusa dan kuda dipotong. Cara tersebut dilihat cuba untuk memisahkan daging dengan tulang, selain mendapatkan sumsum. Kesan pada tulang tersebut menunjukkan cubaan mengetuk dengan alatan zaman Paleolitik, serta kesan potongan untuk mendapatkan daging.

Tengkorak Dalam Tengkorak

Lain pula di tengah-tengah bandar Sweden iaitu Motala, terdapat sebuah tasik cetek. Pada tahun 2009, ahli arkeologi menemui tinggalan batu aneh di dasar tasik, dipercayai tinggalan dari Zaman Mesolitik.

Bersamanya, turut ditemui 11 mayat yang sudah mereput, terdiri daripada orang dewasa, kanak-kanak dan juga bayi. Dua daripada tengkorak tersebut ditusuk dengan kayu, satu masih sempurna dan satu lagi sudah terpecah dua. Ahli arkeologi menganggarkan usia tengkorak itu sekitar 8,000 tahun.

Terdapat juga tengkorak yang ditanam di dalam rangka tengkorak lain. Dipercayai, rangka-rangka yang ditemui bersama peralatan batu dan tulang haiwan ini merupakan trofi kejayaan pihak musuh yang berjaya menawan mereka.

Tangan Kanan Musuh

Di timur laut Kaherah, berdekatan dengan Sungai Nil, 16 tangan kanan ditemui tertanam dalam empat lubang yang berbeza pada Ogos 2012. Lubang tersebut dikatakan berada dalam lingkungan kawasan istana Hyksos, Avaris (pada hari ini dikenali sebagai Tell el-Daba).

Tangan kanan tersebut dipercayai berusia hampir 3,600 tahun, ditanam pada zaman pemerintahan King Khayan. Dua daripada empat lubang tersebut ditemui di hadapan sebuah bilik yang dipercayai bilik takhta. Manakala 14 tangan kanan yang lain dijumpai dalam dua lubang berlainan

Ahli arkeologi percaya tangan tersebut merupakan tangan kanan musuh yang dikalahkan, lalu dipotong dan dipersembahkan kepada raja untuk mendapatkan ganjaran emas.

Korban Pagan

Di tanah lumpur dan bergambut di Jutland, Denmark, sekumpulan ahli arkeologi menemui mayat yang dipercayai tertanam sejak abad ke-3. Antara yang terkenal ialah Tollund Man dan Grauballe Man.

Tollund Man ditemui sekitar tahun 1950, manakala Grauballe Man pada April 1952. Kedua-duanya dikatakan mati kerana dibunuh sebagai korban dalam kepercayaan pagan. Tollund Man mati dengan tali yang digunakan untuk mencekik lehernya, manakala Grauballe Man dengan kesan kelar di leher dari telinga ke telinga.

Bagaimana ada kesan yang begitu jelas? Terima kasih kepada oksigen yang kurang, suhu yang rendah dan asid yang tinggi. Tubuh mereka yang dijumpai berada dalam keadaan yang baik dan terawet secara semula jadi. Pada hari ini, mayat-mayat yang diawet ini boleh ditemui di Muzium Moesgaard di Aarhus, Denmark.

Mangsa Kekejaman

Di Huaca de la Luna, sebuah pusat berkumpulnya masyarakat Moche kuno di utara Peru sekitar tahun 200 Masihi sehingga 850 Masihi, ahli arkeologi menemui satu kapal seramik yang menggambarkan pahlawan yang telah kalah dalam peperangan.

Dalam lukisan tersebut, digambarkan pahlawan yang jatuh sakit akan diubati di dua tempat keramat dalam kawasan tersebut. Juga dilakar para dewa dewi memegang tengkorak yang dipenuhi dengan darah para pahlawan untuk dijadikan alat pemujaan. 

Kira-kira 70 rangka pahlawan yang menjadi mangsa kekejaman telah dijumpai di kawasan tersebut. Pahlawan tersebut telah dibunuh dan kemudian disapu masuk ke dalam lubang.

Mayat Disiat Untuk Dapatkan Tulang

Lain pula di kota tinggalan purba, Teotihuacan, yang terletak kira-kira 30 batu di timur laut Mexico, peralatan kuno yang dibuat menggunakan tulang manusia telah ditemui. Dipercayai ia berasal dari zaman pra-Aztec Mexico moden, sekitar tahun 100 Sebelum Masihi sehingga 650 Masihi.

Tulang manusia seperti tulang paha dan tulang belikat digunakan untuk membuat sikat, butang, jarum dan sudu. Terdapat lebih kurang 5,000 fragmen tulang telah ditemui oleh ahli arkeologi di Teotihuacan.

Tulang ini diambil dari tubuh manusia, biasanya ahli keluarga sendiri, sejurus selepas kematian. Mereka tidak bertangguh kerana tulang cepat reput. Malah, mereka juga biasanya menggunakan tulang daripada lelaki dewasa yang sihat dan mati bukan kerana penyakit. Jarang tulang kanak-kanak digunakan kerana sangat rapuh, begitu juga dengan tulang orang tua.  

Masyarakat pada zaman pra-Aztec tidak takut dengan kematian. Mereka menyiat daging manusia yang masih segar untuk mendapatkan tulang menggunakan batu yang tajam dan pelbagai saiz. Kemudian, daging manusia akan dikebumikan di dalam kediaman mereka sendiri.

Ditanam Dalam Keadaan Mengerekot

Di Lima, Peru, terdapat sebuah kuil kuno – Kuil Pachacamac yang dibina beribu tahun lalu. Dalam kawasan yang sama, terdapat lebih kurang 20 buah piramid dan sebuah tapak perkuburan. Dikatakan, ia merupakan tempat yang suci bagi kaum terdahulu, bangsa Ychsma.

Pada tahun 2012, para arkeologi menemui sebuah bulatan berpusat yang besar, iaitu kubur yang menempatkan mumia 80 orang dewasa dan bayi. Orang dewasa ditanam dalam keadaan mengerekot seperti janin dalam kandungan. Separuh daripada jumlah itu ialah bayi. Tidak diketahui sama ada mereka ini mangsa pemujaan atau mati kerana wabak penyakit.

Sekurang-kurangnya lima daripada mayat orang dewasa itu dipasang kepala palsu yang diperbuat daripada kayu. Tujuannya ialah untuk mengurniakan identiti kepada si mati dan memudahkan laluannya ke alam yang seterusnya. Artifak ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Ychsma.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This