PERSONALITI media sosial, Ryan Bakery membuat kejutan apabila mengumumkan akan memberikan sarapan secara percuma kepada 100 pendengar setia stesen radio Era sekiranya dia berjaya membawa pulang kemenangan sempena Gempak Most Wanted Awards (GMWA) yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Dia yang dicalonkan dalam kategori Digital Creator (Entertainment) Tergempak membuat janji tersebut menerusi segmen 3 Pagi Era, ketika ditemubual oleh Radin dan Azad Jasmin, hari ini.
“Kepada Nabil, Radin dan Pak Azad, kalau saya menang, saya akan belanja sarapan pagi kepada 100 orang terawal di Restoran Pelita KLCC.
“Kalau saya kalah saya akan bersiaran di Era bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.
Meskipun ‘janji’ manis yang ditabur oleh Ryan dipandang sinis oleh Radin dan Pak Azad, dia berkata akan menunaikan hasrat tersebut pada hari Isnin hadapan.
Malah dia sendiri juga sudah mempersiapkan mental dan fizikal sekiranya terpaksa ke udara sepanjang hari berkenaan jika rezeki tidak berpihak kepadanya.
“Saya gembira bila nama masih lagi berada dalam senarai pencalonan dan membuktikan kehadiran saya masih diterima baik oleh pengikut.
“Mereka bukan sahaja memberikan sokongan tetapi dalam masa yang sama memberikan inspirasi kepada saya untuk terus menghasilkan kandungan yang lebih baik.
“Sebab itu saya mahu belanja 100 orang bersarapan secara percuma sekiranya rezeki memihak kepada saya. Kalau sebaliknya berlaku, saya akan ‘hiburkan’ mereka melalui suara di Era sepanjang hari,” ujarnya.
Selain Ryan, turut tercalon dalam kategori berkenaan terdiri ialah Acap S, Kasih Iris Leona, Shah Zakaria dan Steph Beauty.
Sementara itu, mengulas mengenai calon lain, bapa kepada seorang cahaya mata ini tidak menafikan saingat sengit diberikan oleh mereka yang mempunyai pengikut tersendiri.
Masing-masing hadir dengan kandungan yang disukai ramai meliputi pelbagai kategori dan sentiasa membawa idea segar.
Sudah pasti kesemua calon yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri.
“Sama ada menang atau tidak, saya serahkan kepada rezeki. Kita semua berusaha untuk memberikan yang terbaik dan dalam masa yang sama meraikan penganjuran GMWA kali ini.
“Ini masa untuk kita sama-sama meraikan pencipta kandungan.
“Teruslah menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk masyarakat,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

