KEHADIRAN Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan satu kolaborasi luar biasa yang menggabungkan tiga personaliti ikonik dari latar belakang berbeza.
Penyanyi pop Dafi, raja kandungan kreatif Ryan Bakery, dan permata seni Indonesia Farel Prayoga, kini bersatu dalam sebuah naskhah raya berjudul Raya Yay Yay.
Lagu terbitan FYP Media itu bukan sekadar halwa telinga, malah ia merupakan sebuah karya penuh tenaga yang direka khusus untuk membangkitkan nostalgia kemeriahan Lebaran zaman kanak-kanak.
Dicipta sepenuhnya oleh komposer Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves, single itu sudah mula menemui pendengar di semua pelantar digital.
Bagi Dafi, peluang bekerjasama dengan Ryan dan Farel merupakan satu kejutan yang tidak disangka-sangka.

Menganggap ia sebagai satu eksperimen yang berjaya, Dafi menyifatkan proses rakaman tersebut sebagai satu kembara seni yang segar.
“Sejujurnya, projek ini berlaku secara spontan. Apabila pihak pengurusan menawarkan peluang untuk berganding dengan Ryan dan Farel, saya terus bersetuju kerana ia adalah satu peluang keemasan yang jarang berlaku.
“Memandangkan ini adalah kali pertama kami bekerjasama, banyak perkara baharu yang saya pelajari untuk memastikan vibe lagu ini benar-benar ‘sampai’ kepada pendengar,” katanya.
Sementara itu, Ryan yang terkenal dengan watak-watak jenakanya, melihat lagu ini sebagai medium untuk menyebarkan gelombang positif.

Baginya, Raya Yay Yay adalah refleksi kepada kegembiraan sebenar menyambut Syawal tanpa perlu rasa terbeban dengan persaingan materialistik.
“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya yang sentiasa mahu melihat orang sekeliling ceria.
“Pencipta lagu ini berjaya menterjemahkan suasana riuh-rendah ketika berkumpul bersama keluarga ke dalam lirik dan melodi.
“Saya mahu semua orang faham Aidilfitri bukanlah satu pertandingan siapa yang lebih hebat, sebaliknya ia adalah masa untuk kita menghargai nikmat yang ada dengan penuh keinsafan,” ujarnya.
Bagi bintang muda Indonesia, Farel, naskhah ini mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia merupakan lagu raya sulung sepanjang karier seninya.

Memandangkan budaya industri muzik di Indonesia lebih memfokuskan kepada lagu tema Ramadan, peluang merakamkan lagu khas Aidilfitri di Malaysia adalah satu pengalaman yang sangat berbeza.
Namun, Farel tidak menafikan wujud cabaran kecil sepanjang berada di dalam studio rakaman, terutamanya dari segi dialek dan bahasa.
“Ini adalah kali pertama saya mempunyai lagu raya sendiri. Walaupun ada beberapa kosa kata yang saya rasa agak asing dan lucu bagi saya, saya sangat seronok mempelajarinya.
“Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh peminat di Malaysia dan juga di negara kelahiran saya, Indonesia,” katanya yang berasal dari Banyuwangi itu.
Sebagai info tambahan, peminat kini boleh menonton muzik video Raya Yay Yay yang telah dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Indigital Music bermula 6 Mac lalu.
Visual yang dipaparkan menjanjikan suasana warna-warni yang sejajar dengan tenaga lagu tersebut, sekali gus melengkapkan sambutan Syawal anda tahun ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

