SELEPAS mencipta sukses menerusi lagu 40 yang telah pun viral di platform TikTok pada tahun lalu, penyanyi Sharifah Zarina terus tidak duduk diam, sebaliknya meneruskan momentum kerjaya seninya dengan penghasilan lagu raya terbaharu berjudul OOHAA RAYA.
Memilih untuk tidak menyanyikan lagu tersebut secara solo, sebaliknya mengundang anaknya, Athalia untuk berkolaborasi secara duet.
Sharifah Zarina atau Sharifah Zarina Wan Hassan menyifatkan OOHAA RAYA adalah sebuah projek lagu raya yang cukup bermakna kerana ia membawa kisah tentang kehidupan realiti mereka anak-beranak terutama pada saat menyambut raya.
OOHAA RAYA yang diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment adalah sebuah lagu raya duet ibu dan anak yang pertama dalam industri muzik tanah air dan merupakan karya lagu ciptaan komposer Eugene Lai dan Ja’a, manakala lirik dihasilkan Ja’a, Eugene Lai serta Sharifah Zarina dan Athalia sendiri.

Menariknya, sebanyak enam episod siri web lagu duet raya ini turut dihasilkan serta dimuatnaik di akaun TikTok Sharifah Zarina https://www.tiktok.com/@realsharifahzarina serta Athalia https://www.tiktok.com/@officialathalia.
Bercakap lebih lanjut mengenai OOHAA RAYA, Sharifah Zarina berkata, selepas menghasilkan 40, dia berasakan perlu adanya kesinambungan lagu itu dan dari situlah tercetusnya idea untuk berkolaborasi bersama Athalia menerusi lagu raya duet ini.
“Sebetulnya, yang bagi idea tentang kolaborasi duet ini datangnya daripada komposer Eugene Lai yang turut bertindak selaku produser lagu ini.
“Bila difikirkan semula, saya rasa kenapa tidak saya berduet dengan Athalia kerana ia suatu idea yang bagus.
“Lagipun, mana ada lagi lagu raya yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi.

“Selalu waktu rakaman di studio, saya kena nyanyi seorang diri. Tapi, bila kena duet dengan anak sendiri, adakalanya saya ‘terbawa’ sikap seorang emak yang cuba kongsi idea, menegur, mengajar atau pun marah kepada Athalia.
“Penggambaran muzik video (MV) OOHAA RAYA ini pula sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang menjayakan siri web yang juga konten tambahan untuk lagu ini kerana akhir-akhir ini saya memang minat sangat berlakon, lebih-lebih lagi kalau jalan ceritanya bergenre komedi.
“Penggambaran MV berlangsung di bulan Ramadan. Memang seronoklah dapat buka puasa ramai-ramai dengan semua pasukan produksi,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu raya solo sekitar 2017 menerusi lagu Seiring Gema Takbir ciptaan Azmeer.
Mengenai kisah OOHAA RAYA ini, Sharifah Zarina berkata, perkataan OOHAA itu sendiri diambil daripada bahasa Iban yang boleh dimaksudkan sebagai Hello atau Hai.
“Perkataan OOHAA ini digunakan begitu meluas di Sarawak sebagai anak kelahiran bumi Kenyalang, saya cuba menyelitkan sesuatu yang ada kaitan dengan budaya di negeri saya.
“Tapi, apa yang tertera dalam lirik ini memang 100 peratus berkisar dengan apa yang berlaku tentang diri saya dengan anak-anak.
“Kalau siapa yang mengikuti akaun TikTok saya memang tahu sangatlah dan kisah kami anak beranak memang selalu dapat tontonan tinggi di platform media sosial tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, Athalia teruja apabila dapat berduet dengan ibunya, Sharifah Zarina menerusi lagi OOHAA RAYA, apatah lagi bila menyedari bahawa konten mereka anak-beranak amat disukai dan sering ditonton ramai di TikTok.
“Itu yang membuatkan saya bersetuju dan rasa perlunya saya dan ‘mama’ (panggilan buat Sharifah Zarina) menjayakan projek lagu raya ini secara duet.
“Setidak-tidaknya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kami anak beranak sewaktu bekerja dan pada masa yang sama kami dapat melihat cara kerja masing-masing dan belajar antara satu sama lain.
“Tapi, ada waktu-waktunya, ia agak sukar juga. Sebab, kadang-kala kita secara tidak langsung berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah.
“Tapi akhirnya, kami cuba berdiskusi untuk mencari persetujuan bersama serta mencapai solusi terbaik dan hubungan sebagai sebagai ibu dan anak itu sebetulnya lebih memudahkan kami untuk menyelesaikan isu-isu seperti ini.
“Tapi menjayakan proses rakaman suara dan penggambaran MV OOHAA RAYA ini memang suatu proses yang menyeronokkan. Saya bersyukur kerana selain berpeluang menghasilkan lagu raya bersama ibu, saya juga punya satu lagi lagu raya bersama beberapa rakan artis.
Harap orang akan terima dan suka dengan kedua-dua lagu raya ini kerana ia memiliki vibe serta jalan cerita yang berbeza tetapi tetap ‘fun’ didengar,” ujarnya.
Sementara itu, Eugene berkata, pada awalnya, dia dengan Ja’a teringin untuk menghasilkan lagu raya yang memiliki elemen keroncong dengan tempo lebih perlahan.
“Tapi kemudian, Sharifah Zarina dan Athalia memberikan cadangan untuk melajukan tempo lagu untuk mendapatkan elemen feel reggae yang bagi saya menjadikan lagu OOHAA RAYA ini menarik kerana secara tidak langsung ia telah menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden.
“Sharifah Zarina dan Athalia juga menukar lirik dan menambah melodi baru untuk disesuaikan dengan personaliti mereka dalam lagu ini.
“Bagi saya, OOHAA RAYA adalah sebuah lagu raya yang ‘fun’ kerana ia menampilkan usikan atau gurauan di antara ibu dengan anak perempuannya,” ulasnya.
Menurut Ja’a pula, dia sangat berpuas hati dengan hasil rakaman OOHAA RAYA serta tidak menyangka bahawa elemen muzik moden reggae dengan muzik tradisional keroncong boleh digabungkan menjadi lagu raya.
“Semua ini tidak akan tercapai tanpa adanya kerjasama yang baik dengan Sharifah Zarina serta Athallia yang juga berbakat menulis lirik dan melodi, sekaligus menjadikan ia sebuah lagu raya lengkap yang lengkap berkonsepkan antara ibu dan anak,” katanya.
Lagu OOHAA RAYA edaran Universal Music Malaysia telah dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

