AHLI Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta semua mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas membuat laporan polis bagi memudahkan proses siasatan dan penyaluran bantuan.
Beliau berkata, laporan itu penting untuk merekodkan kerosakan dan kehilangan harta benda penduduk bagi memudahkan tindakan susulan oleh pihak berkuasa.
“Kita minta semua yang terjejas membuat laporan melibatkan kerosakan, kehilangan dan sebagainya.
“Pihak polis telah membuka lebih banyak kaunter untuk memudahkan proses itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan pihaknya setakat ini menerima 66 laporan daripada mangsa dan penghuni rumah membabitkan pelbagai kategori.
Daripada jumlah itu, 32 laporan melibatkan rumah yang terjejas dan terbakar, 29 berkaitan kenderaan rosak manakala lima lagi laporan lain.
Baca artikel lain: Kebakaran Putra Heights: Penduduk mula masuk periksa rumah hari ini
Selain itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja dan Puchong serta Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu penduduk terkesan insiden itu.
“Pusat Khidmat Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri berkaitan juga akan terus menyalurkan makanan selagi diperlukan.
“Penyaluran bantuan akan diselaraskan secara intensif dan sudah tentu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 April ini,” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih 20 minit mendengar taklimat situasi semasa di PKTK dan bertanya khabar mangsa insiden itu.
Pada Selasa lepas, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kejadian kebakaran besar pada 8.10 pagi itu di saluran paip utama milik Petronas Gas Bhd.
Pihak bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu yang turut menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter terbentuk di lokasi kejadian.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

