PART I : Protokol Rumah Terbuka

Dari Penulis

SELAMI DAN HAYATI NIAT RUMAH TERBUKA

Mengapa rumah terbuka diadakan dan kenapa pula kita menunggu undangannya? Jangan lupa, tujuan asal mengadakannya ialah untuk merapatkan silaturahim, bersua dan bermaaf-maafan.

Kalau dulu rumah terbuka tak perlu pun jemputan tetapi keadaan sudah berubah, jemputan dibuat melalui telefon atau pesanan ringkas. Jadi ini bermakna kita haruslah ikut peraturan.

Ada yang bertanya apakah jika majlis tersebut itu diadakan ahli keluarga sendiri perlu juga jemputan? Jawapannya mudah, anda sendiri mungkin boleh mengagak sama ada anda perlu hadir atau tidak. Tetapi jika sekadar kenalan biasa, jika tidak dijemput seeloknya janganlah hadir.

PROTOKOL PAKAIAN

Buat tetamu budiman, ingatlah, rumah yang terbuka, bukan aurat! Memandangkan rumah terbuka Aidilfitri mahupun Aidiladha adalah majlis berteraskan keagamaan, maka jagalah tertib berpakaian.

Elakkan juga pakaian yang jarang hingga menampakkan bentuk badan anda hingga begitu jelas. Sebolehnya, elakkan pakaian yang sendat dan melekap tubuh. Sementara itu, bagi yang bukan Melayu pula, manis jika menggayakan pakaian tradisional masing-masing terutama jika majlis dianjurkan secara rasmi dan dihadiri tetamu kehormat di hotel lima bintang.

Jika ada tema yang ditetapkan, cubalah sedayanya mengikut tema. Biasanya, untuk majlis sebegini tema yang dipilih ringkas dan tidak menyukarkan tetamu, contohnya, tema warna atau pakaian tradisional yang selalunya memang sedia ada di dalam almari setiap orang.

TERTIB JEMPUTAN

Walaupun jemputan yang anda terima tanpa kad rasmi, adalah wajar sekiranya anda menghubungi atau menjawab pesanan ringkas untuk memberitahu sama ada anda akan hadir atau tidak.

Sekiranya hadir, bersikap adillah kepada tuan rumah dengan memberitahu jumlah orang yang datang bersama anda.

Bayangkan bagaimana rumitnya tuan rumah apabila enam pasangan yang dijemput datang seisi keluarga dengan anak berderet dan ada juga yang membawa pembantu rumah sekali.

Apabila perkara seperti ini berlaku, anda telah tidak bersikap adil kepada tuan rumah kerana sudah pasti bajet hidangan yang disediakan tidak akan mencukupi. Inilah yang sering berlaku kepada tuan rumah dan akhir tuan rumah juga yang akan mendapat malu apabila makanan tidak cukup.

HORMAT WAKTU

Biasanya anda sudah pun dimaklumkan mengenai masa undangan dan cubalah patuhi masa tersebut.

Janganlah datang terlebih awal hingga menimbulkan rasa cemas dan kurang senang bagi tuan rumah yang mungkin belum bersedia untuk menerima kunjungan anda. Sebaliknya janganlah pula terlalu lewat hingga tuan rumah terpaksa melayan anda walaupun waktu jemputan sudah pun tamat.

Seperkara lagi sekiranya anda terlalu lewat, pihak katerer juga akan terlibat sama dan mengganggu kelancaran kerja-kerja mereka untuk mengemas dan membersih. Lebih tidak seronok apabila makanan habis dan anda membuat tuan rumah berasa terkilan.

Disarankan sebelum pergi ke rumah terbuka, lebih baik anda menelefon dan dapatkan makluman yang betul. Supaya tuan rumah dapat membuat persediaan sepatutnya.

Sekiranya jemputan itu datangnya daripada ahli keluarga dan sahabat rapat, anda perlu juga memaklumkan dan mendapatkan kepastian sama ada bolehkah anda datang lewat sedikit atau sedikit awal untuk menghadiri jemputan lain kerana semua maklum bahawa musim raya ada kalanya kita mendapat bukan sahaja satu jemputan tetapi ada hingga empat lima jemputan dalam satu hari.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

KPJ Healthcare Alih Fokus TK2026 Kepada Penerapan Kesihatan Baharu Termaju

PENYEDIA perkhidmatan kesihatan swasta, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi Tahun Kewangan 2025 (TK2025)...

More Articles Like This