GENTING Property Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Genting Plantations Berhad (“Genting Plantations”), melancarkan Bandar Pintar Teknologi Johor (Johor Tech Smart City) yang menggabungkan pertanian moden, teknologi canggih dan infrastruktur maju.
Terletak di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan ikonik seluas 2,300 ekar ini merupakan satu penanda aras global baharu untuk sistem makanan masa depan serta bandar pintar generasi baharu.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Pengerusi Eksekutif Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Genting Plantations Berhad, Datuk Indera Lim Keong Hui.
Datuk Onn Hafiz berkata, pembangunan ini mencerminkan usaha berterusan Johor untuk memperkukuh ekosistem ekonomi yang kempetitif, berasaskan inovasi dan mampan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Genting Property, ACGT, rakan strategik, pelabur serta semua pihak berkepentingan atas keyakinan dan komitmen mereka yang telah membantu merealisasikan Bandar Pintar Teknologi Johor.

“Melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pemain industri dan agensi berkaitan, Johor terus memudahcara pelaburan berkualiti, membangunkan bakat mahir serta memperbanyak peluang ekonomi untuk rakyat.
Bandar Pintar Teknologi Johor membuktikan potensi besar yang dapat dicapai menerusi kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, serta perkongsian komitmen jangka panjang terhadap pembangunan mampan negeri ini,” ujarnya.
Rancakkan pertumbuhan ekonomi
Berlatarbelakangkan keindahan semula jadi Gunung Pulai, Bandar Pintar Teknologi Johor direka dengan memanfaatkan kepakaran perancangan induk Genting Property, kecekapan teknologi pertanian (AgTech) ACGT Sdn Bhd (“ACGT”), serta keupayaan rakan teknologi utama.
Secara kolektif, semua pihak bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepat pertumbuhan yang berskala dan dipacu inovasi, menarik dan mengekalkan bakat bertaraf dunia, serta merangsang pelaburan domestik dan rentas sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Genting Plantations Berhad, Datuk Indera Lim Keong Hui, berkata, Bandar Pintar Teknologi Johor mencerminkan komitmen jangka panjang mereka untuk melabur dalam pembangunan transformatif yang mencipta nilai yang mampan untuk negeri dan negara.
“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor untuk bersama-sama merealisasikan visi ini.
“Dengan menggabungkan kepakaran Genting Property dalam pembangunan bandar berskala besar, inovasi AgTech ACGT serta rangkaian kerjasama global yang kukuh, kami yakin projek strategik ini akan memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi, ekosistem inovasi dan kesiapsiagaan masa depan negeri Johor,” jelasnya.
Kampus AgTech seluas 500 ekar
Bandar Pintar Teknologi Johor menampilkan Kampus AgTech dikhususkan untuk pertanian pintar bagi meningkatkan sekuriti makanan melalui komponen-komponen terasnya.
Antara SEEDS, yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tanaman dan benih, pembiakan, serta penyediaan input berkualiti tinggi dan SUPERFARMS, yang memfokuskan kepada penanaman pintar serta pengeluaran tanaman berskala.

Ia disokong oleh SPROUT, sebuah hab komersial dan gaya hidup interaktif yang mempamerkan masa depan praktikal sekuriti makanan melalui paparan langsung, penglibatan interaktif, dan pengalaman sajian ladang-ke-meja.
Selain itu, ia turut menjadi lokasi bagi persidangan antarabangsa serta inisiatif pelancongan pendidikan yang direka bagi menghubungkan pengunjung, pelabur dan syarikat pemula.
Kampus Pengetahuan AI seluas 1,700 ekar
Menampilkan hab inovasi seluas 430 ekar yang dibangunkan berasaskan pelan induk ikonik Huawei bagi infrastruktur maju dan ekosistem digital, Kampus Pengetahuan AI ini memacu ekonomi digital dan pengekalan bakat.
Hab ini disepadukan dengan kediaman penginapan jangka panjang yang berteraskan kesejahteraan serta padang golf bertaraf dunia 18 lubang bagi menarik bakat global, inovator, syarikat teknologi utama dan warga global, bagi mewujudkan satu ekosistem gaya hidup yang komprehensif.

Hab-hab masa depan ini dijana secara lestari oleh tenaga bersih daripada ladang solar khusus seluas 100 ekar, sekali gus mengukuhkan komitmen pembangunan terhadap tanggungjawab alam sekitar jangka panjang.
Enjin ekonomi bertaraf dunia
Sebagai pemangkin ekonomi jangka panjang yang selari dengan aspirasi pembangunan negeri dan negara, Bandar Pintar Teknologi Johor dijangka menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM80 bilion serta mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.
Dengan menggabungkan teknologi pertanian (AgTech), kecerdasan buatan (AI), infrastruktur mampan dan perancangan bandar pintar dalam satu ekosistem bersepadu, pembangunan ini menjadi satu pelan tindakan berpandangan jauh bagi ekonomi masa depan dan bandar generasi baharu.
Kerjasama teknikal bertaraf global
Bagi merealisasikan visi Bandar Pintar Teknologi Johor, Genting Property dan ACGT bekerjasama dengan rangkaian peneraju teknikal global terkemuka.
Antaranya termasuk Huawei, dengan kampus pintar bertaraf dunia di Shanghai dan Dongguan yang menjadi inspirasi kepada pelan induk Kampus Pengetahuan AI, serta pakar perancangan bandar dan sistem pintar seperti B+H dan Surbana Jurong (SJ).
Ekosistem Kampus AgTech ini turut disokong oleh pemain industri global, termasuk China Shouguang Vegetable Industry Group (CSV) dalam R&D benih dan tanaman tropika, DAYU Irrigation bagi pengurusan air dan nutrien berketepatan tinggi, XAG dengan teknologi robotik pertanian autonomi terkemuka, serta AIRSAT yang menyediakan kecerdasan satelit dan analisis data tanaman jarak jauh.

Penulis merupakan Pengarang Wanita & Hijab di UtusanTV. Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV, penulis pernah bertugas di sebuah syarikat media cetak bermula pada tahun 2007.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama berkaitan kewanitaan, korporat, personaliti, kesihatan, kecantikan, kisah masyarakat, pelancongan, fesyen dan banyak lagi.
Jika ada sebarang jemputan acara, pelancaran produk atau sidang akhbar, boleh hubungi penulis menerusi email : [email protected].

