SEORANG warga emas maut selepas kenderaan pelbagai guna dipandunya bertembung dengan sebuah lori pasir di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, laporan mengenai kejadian diterima daripada orang awam kira-kira pukul 2.45 petang.
Katanya, mangsa warga emas berusia 68 tahun yang merupakan pemandu Nissan Serena disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemandu lori berusia 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

