Petanda akhir zaman… golongan orang gemuk kian meningkat

Dari Penulis

Berdasarkan data WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) dan NHMS (National Health and Morbidity Survey), Malaysia mendahului negara Asia Tenggara dari sudut kadar obesiti. Malaysia mencatat kadar ‘orang gemuk’ dewasa tertinggi di Asia Tenggara sebanyak 17.7% diikuti oleh Thailand (10%), Indonesia (6.9%) dan Filipina (6.4%).

Bukan itu saja, Malaysia juga mencatat kadar obesiti kanak-kanak tertinggi di Asia Tenggara iaitu sekitar 14.8% (untuk yang berusia 5-17 tahun). Angka yang menggerunkan, bukan?

Angka itu tidak mustahil. Lihatlah cara pengambilan makanan masyarakat kini. Ramai yang makan berlebihan dengan pelbagai makanan tidak sihat, terutama makanan segera yang terhidang di sekeliling kita yang mudah diperoleh, cepat dan murah.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-A’raaf ayat 31 yang bermaksud; “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Jelas dalam surah tersebut menerangkan, Allah tidak menyukai orang yang melampau termasuklah dalam soal makan dan minum. Ayat ini juga menyarankan manusia supaya beradab ketika makan seperti tidak membazir dan tidak melampau atau berlebih-lebihan ketika makan. Adakah masyarakat kini mengikut apa yang disarankan oleh-Nya?

Petanda akhir zaman

Dalam hadis riwayat Muslim, daripada Zahdam bin Mudlorrib r.a. mendengar Imron bin Khushoin berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,  “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang hidup pada masa ku, kemudian orang-orang yang hidup selepas mereka, kemudian orang-orang yang hidup selepas mereka.” Imron berkata, “Aku tidak mengerti; Apakah Rasulullah s.a.w. berkata tentang peristiwa-peristiwa selepas zamannya, dua kali atau tiga kali (generasi)?” Kemudian sabda Rasulullah, “ Sesudah mereka ada suatu kaum yang berhak menjadi saksi tapi diminta kesaksiannya (tidak dijadikan sebagai saksi), mereka berkhianat dan tidak dapat dipercayai, mereka bernazar (berjanji) tidak menepatinya. Dan kalau sudah terjadi demikian muncullah orang-orang gemuk di antara mereka”.

Menurut pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd. Akil Mohamed Ali yang pernah kami temubual dahulu, hadis tersebut menerangkan terdapat tiga generasi terbaik iaitu pada zaman sahabat, zaman tabi’in dan zaman  tabi’ tabi’in.

Zaman ini merupakan zaman terbaik kerana mereka adalah di kalangan yang mengikut segala amalan yang dituntut dalam Islam dan Rasulullah s.a.w termasuklah dari segi fizikal iaitu penjagaan makan dan minum, yang lebih mementingkan kebersihan dan tidak membazir.

“Petanda akhir zaman tidak hanya pada kemusnahan alam, malah, kemusnahan manusia juga dapat dilihat iaitu kemunculan orang-orang gemuk atau obesiti yang berpunca daripada amalan pemakanan yang berlebih-lebihan.

“Dalam Islam, antara sebab penyakit adalah berpunca daripada perut. Makanan orang-orang gemuk adalah tidak berkualiti yang kemudian menjadi lemak dan berkumpul dalam tubuh.  Seterusnya, mengundang pelbagai penyakit seperti darah tinggi, jantung dan sebagainya,” katanya.

Pada 1400 tahun dahulu, Rasulullah pernah berkata, pada akhir zaman akan muncul orang-orang gemuk seperti hadis yang telah disebutkan dan kini telah menjadi realiti. Salah satu punca kematian hari ini adalah tidak menjaga pemakanan.

“Kebanyakan penyakit bermula dari pemakanan yang tidak sihat dan tidak berkualiti, maka timbulnya penyakit akhir zaman, walaupun tidak melibatkan syurga mahupun neraka,” katanya.

Pemakanan Nabi

Menyentuh keperibadian Rasulullah s.a.w dalam amalan pemakanan, Rasulullah akan makan pada waktu-waktu tertentu iaitu apabila terasa lapar dan memerlukan tenaga. Makan makanan yang berkualiti seperti buah tamar diutamakan kerana dipercayai dapat memberi tenaga dan menguatkan minda.

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, “keluarga nabi tidak pernah kenyang dengan memakan roti gandum dua hari berturut-turut dan (pada hari mereka tidak memperoleh  roti) mereka memakan tamar”.

Jika dibandingkan, amalan pemakanan masyarakat kini jauh berbeza dan tidak mengamalkan konsep Islam iaitu makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan. Konsep ini semakin terhakis sedikit demi sedikit, kerana perubahan zaman.

Buah-buahan merupakan makanan yang paling tinggi kualiti jika dibandingkan dengan makanan lain dan sangat penting dalam gizi pembangunan manusia. Rasulullah juga mengamalkan  makan buah tamar seperti tamar ajwa yang mempunyai kualiti yang tinggi dan dapat membekalkan tenaga.

Larangan makan berlebihan

Berdasarkan hadis dari Ibnu Umar iaitu Abdullah bin Umar ra, iaitu anak kepada sahabat Nabi dan juga merupakan sahabat Nabi yang bermaksud, “Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.”

Hadis tersebut menerangkan tentang keperibadian Ibnu Umar yang tidak pernah memulakan makan melainkan dia memanggil seorang miskin makan bersamanya.

Bagaimanapun, suatu hari, ada seorang miskin yang makan bersamanya dan memakan dengan rakus. Lantas, Ibnu Umar berkata kepada petugasnya, “jangan biarkan orang ini masuk lagi ke rumah ku kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa orang mukmin hanya makan dengan satu usus (perut) dan orang kafir dengan menggunakan tujuh usus”.

Orang Islam yang sebenar-benarnya hendaklah makan dalam keadaan yang berpatutan.  Walaupun lapar, kita mestilah makan dalam keadaan yang sederhana dan mengikut amalan Rasulullah s.a.w iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Tidak sepatutnya seorang Muslim makan dengan cara yang berlebih-lebihan kerana dalam Islam sememangnya diterapkan adab-adab makan bagi mengecap nikmat makan.

Tingkah laku yang baik juga bermula dari  pemakanan yang baik, halal, suci dan tinggi kualitinya. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Mukminun yang bermaksud, “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih sesungguhnya Aku maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Mengikut panduan dan sunnah Rasulullah dalam amalan pemakanan, dapat menghindarkan diri dari mengikut amalan syaitan. Makan makanan yang baik, halal, suci dan tidak membazir adalah amalan yang patut dituruti sebagai seorang Muslim, sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”– (al-Baqarah : 168).        

Makanan berasaskan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran menjadi corak pemakanan Rasulullah yang boleh dijadikan amalan. Malah, ia turut disokong oleh kebanyakan pakar pemakanan dan telah terbukti dari sudut pandangan sains bahawa makanan tersebut sihat dan berkhasiat.

Tambahan lagi, biji-bijian yang sempurna amat penting bagi kesihatan jantung. Malah dapat mengawal penyakit kencing manis dan kegemukan melampau (obesiti) dan juga mampu mencegah kanser.

Mengikut satu kajian yang pernah dibentangkan di International Conference on Food, Nutrition and Cancer, biji-bijian sempurna, kaya dengan bahan phytonutrients iaitu sejenis sejenis antioksidan berkuasa tinggi yang mampu meningkatkan sistem pertahanan badan di samping mencegah kanser.

Di samping itu, satu kajian Havard School of Public Health ke atas 74,000 orang wanita dari tahun 1984 hingga 1996 menunjukkan, wanita yang mengambil biji-bijian sempurna dalam diet mereka secara berterusan mempunyai berat badan yang rendah berbanding mereka yang tidak mengambil biji-bijian sempurna.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This