SEBANYAK 34.06 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,281 pengundi berdaftar telah pun selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Perkembangan terbaharu setakat pukul 12 tengah hari tadi seperti dimaklumkan menerusi media sosial Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebentar tadi.
“Peratusan pengundi keluar mengundi bagi PRK Dewan Negeri N48 Ayer Kuning sehingga pukul 12 tengah hari adalah 34.06 peratus,” katanya dalam hantaran tersebut.
Seramai 31,281 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat hari ini, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
Sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.
Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Merdeka, Tapah.
Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca cerah diramal pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.
Baca artikel lain: PRK Ayer Kuning: Calon bertanding antara terawal tunai tanggungjawab
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Mohamad Yusri mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
Ayer Kuning ialah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Tapah.
Ini adalah PRK kesebelas selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

