Antara undang-undang pelik, tak boleh tadah air hujan. Jika tidak, sedialah dihukum hanya kerana mengambil air yang jatuh dari langit

Dari Penulis

Jika diikutkan secara logik akal, hujan yang turun mencurah ke bumi adalah milik awam. Sesiapa saja boleh mengambil dan menggunakan air hujan. Namun, perkara itu tidak berlaku di semua tempat. Ada sesetengah tempat yang melarang orang daripada mengambil air hujan. Jika dilakukan juga, orang itu akan didenda. Kedengaran pelik, bukan?

Di sesetengah tempat, wujud larangan mengambil air hujan. Pernah direkodkan sebelum ini penyebaran berita tahanan seorang lelaki berumur 64 tahun, Gary Harrington. Lelaki yang berasal dari Oregon, Amerika Syarikat ini telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari pada tahun 2012.

Mengejutkan, dia ditahan atas kesalahan mengambil tadahan air hujan tanpa kebenaran. Lebih memeranjatkan, dia melakukan perbuatan tersebut di kolam kawasan miliknya sendiri. Kolam tersebut didakwa memiliki takungan berjumlah hampir 13 juta gelen air. Jumlah berkenaan dikatakan bersamaan dengan 20 buah kolam renang bersaiz Olimpik.

Meskipun melalui tempoh perdebatan yang panjang bersama Jabatan Sumber Air Oregon, namun Harrington tetap didakwa bersalah dan dikenakan denda sebanyak $1,500 berserta hukuman penjara selama 30 hari. Perkara tersebut dikatakan tidak menjadi kesalahan sekiranya kolam miliknya mempunyai permit khusus.

Walau bagaimanapun, laporan CNSNews.com. menyatakan, kolam tadahan air kepunyaan Harrington sudah pun memiliki permit. Surat kebenaran itu diperoleh pada tahun 2003. Harrington telah menjelaskan perkara itu kepada pihak yang terlibat. Namun, permit miliknya diambil sekali gus dianggap tidak wujud. Hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati Harrington yang menyifatkan hukuman itu sebagai kes buli.

Namun, Jabatan Sumber Air Oregon menyatakan Harrington tetap dianggap bersalah kerana menggunakan air hujan yang disebut sebagai hak kerajaan. Selain Oregon, terdapat lokasi lain yang mengamalkan peraturan serupa dengan larangan pengambilan air hujan. Antaranya seperti Colorado, Utah dan beberapa kawasan lain.

Menurut laporan ‘National Conference of State Legislatures’ (NCSL), sebanyak 18 buah negara terlibat dalam undang-undang tadahan air hujan. Di Colorado, sebanyak tiga kali perubahan dibuat dalam peraturan air hujan sejak tahun 2009. Di dalam tahun 2009 saja, terdapat dua undang-undang telah diluluskan iaitu SENATE BILL 09-080 dan HOUSE BILL 09-1129.

SENATE BILL 09-080 menjelaskan kebenaran ke atas pemilik harta kediaman yang bergantung pada telaga untuk mengumpul dan menggunakan air hujan. Manakala HOUSE BILL 09-1129 pula menerangkan tentang permohonan golongan pemaju untuk memohon penglibatan di dalam projek perintis air hujan. Bagaimanapun, projek ini hanya boleh beroperasi mengikut pelan kejuruteraan yang mendapat kelulusan.

Undang-undang ini kemudian dikemaskini semula pada tahun 2015 dan hanya fokus terhadap isu projek perintis. Pada Mei 2016, kerajaan pemerintah sekali lagi mengumumkan tentang perubahan di dalam undang-undang air hujan. Setiap pemilik rumah dibenarkan menggunakan dua tong berkapasiti 110 gelen untuk menadah air hujan.

Tidak hanya itu, air berkenaan harus digunakan dalam aktiviti luar sahaja seperti pengairan rumput dan berkebun. Sistem tadahan juga perlu melalui saluran dari bumbung rumah. Bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan, beberapa pegawai bertugas akan dihantar untuk melakukan pemeriksaan di kawasan perumahan.

Berbeza dengan peraturan di Utah, seseorang yang berdaftar dengan Bahagian Sumber Air boleh mengumpul air hujan tidak lebih daripada 2,500 gelen air. Sebaliknya, hanya dua bekas yang dibolehkan untuk mengambil air hujan bagi individu yang tidak berdaftar. Jumlah bekas pada setiap satu pula harus tidak melebihi 100 gelen.    

Dalam pada itu, 14 buah lokasi lain yang mempunyai undang-undang berkenaan air hujan adalah Arizona, Arkansas, California, Hawaii, Illinois, Nevada, Carolina Utara, Ohio, Oklahoma, Pulau Rhode, Texas, Virginia, Washington, Kepulauan Virgin Amerika Syarikat.

Ada di antara tempat yang disebutkan tidak menerangkan info larangan secara terperinci. Apa yang pasti, Colorado adalah antara kawasan yang pernah hangat membincangkan larangan pengambilan air hujan secara serius sehingga mampu menarik perhatian masyarakat luar.

Fakta Tambahan

1.Di sesetengah kawasan di Australia seperti Victoria dan Queensland, untuk mengumpul air hujan perlu mengikut peraturan atau memohon permit jika ia mahu digunakan sebagai air minuman. Peraturan itu diwujudkan untuk menjaga kesihatan awam dan mengawal bekalan air tempatan.

2.Di Utah, Amerika Syarikat, sesiapa pun tidak dibenarkan menadah air hujan sebelum tahun 2010. Selepas itu, keizinan diberi namun dengan syarat harus mendaftar dahulu dengan kerajaan negeri. Tadahan air hujan pula terhad kepada simpanan sehingga 2,500 gelen air sahaja.

3.Di Nevada, Amerika Syarikat, adalah dilarang sama sekali untuk mengumpul air hujan kecuali mereka yang mempunyai lesen khas. Sebabnya air hujan dianggap sebahagian daripada keperluan sistem air awam. Juga disebabkan negeri ini kawasannya begitu kering dan kurang menerima hujan, sebab itu peraturan tersebut dilaksanakan untuk menjaga pengurusan sumber air.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This