Sesetengah tempat dikenali kerana keindahan, seni bina dan sejarahnya. Namun, banyak juga yang turut dikaitkan dengan pelbagai misteri, antaranya sumpahan yang dikaitkan dengan tempat tersebut.
Kisah sumpahan itu pula disampaikan turun temurun dan sering dikaitkan dengan nasib malang. Ini antara tiga lokasi yang kami kongsikan kisahnya.
Batu Hitam Pulau Ko Hin-Ngam

Pulau Ko Hin-Ngam merupakan sebuah pulau kecil yang terletak dalam daerah Satun di bahagian selatan Thailand. Pulau kecil tidak berpenghuni ini dikenali kerana kecantikan batu hitamnya yang berkilat. Batu inilah yang dikaitkan dengan sumpahan.
Mengikut kepercayaan penduduk setempat, batu tersebut dihasilkan oleh Tuhan Tarutao. Batu di situ telah disumpah oleh Tarutao dan tidak boleh dibawa keluar dari pulau tersebut. Jika tidak, mereka yang mengambil batu itu akan mendapat nasib malang.
Memang sukar dipercayai namun, saban tahun pejabat Taman Negara yang menguruskan pulau tersebut menerima banyak bungkusan berisi batu Pulau Ko Hin-Ngam dari seluruh dunia. Pelancong yang pernah datang ke situ dan mengambil batu hitam tersebut untuk dijadikan cenderhati akhirnya memulangkannya semula. Alasan mereka sama, hidup mereka ditimpa malang sejak menyimpan batu tersebut.
Runtuhan Chateau de Rocca Sparviera

Runtuhan istana lama ini terletak di kawasan pergunungan pada ketinggian 1100 meter dari paras laut, di tenggara Perancis. Dibina pada abad ke 12, istana ini popular dikaitkan dengan kisah sumpahan Jeanne.
Dikisahkan suatu ketika dahulu, seorang ratu bernama Jeanne telah datang ke istana ini bersama dua orang anak lelakinya untuk berlindung. Suatu malam pada hari Natal, Jeanne meninggalkan anaknya di istana dan pergi ke kampung berdekatan untuk melihat sambutan perayaan yang diadakan penduduk.
Apabila dia kembali semula ke istana, dia mendapati anak-anaknya telah dibunuh dengan kejam. Ada juga yang menyebut daging anaknya telah dihidangkan sebagai makanan.
Disebabkan itu, Jeanne telah menyumpah tempat itu dan mengatakan tiada seekor burung pun akan berkicauan di situ. Sejak itu, istana tersebut telah ditinggalkan dan lama kelamaan mulai runtuh. Malah, penduduk setempat juga beransur-ansur meninggalkan kawasan tersebut sehingga ia menjadi sebuah tempat yang terpencil, sepi dan menyeramkan.
Menara Alloa

Menara Alloa merupakan salah satu bangunan bersejarah di Scotland. Ia dibina sekitar awal abad ke-14 oleh keluarga bangsawan yang dikenali sebagai Earl of Mar, keluarga yang terkemuka di Scotland.
Menara empat tingkat ini berfungsi sebagai rumah, kubur pertahanan dan pusat politik sejak ratusan tahun lalu. Namun, ia juga popular dikaitkan dengan sumpahan dan pelbagai kisah misteri.
Salah satunya ialah kisah Earl of Mar yang memusnahkan sebuah biara lalu mengambil batu daripada runtuhan biara itu untuk membuat menara ini. Dikatakan pendeta yang berang telah mengenakan sumpahan ke atas keluarga Earl. Antaranya, tiga keturunan Earl tidak akan melihat cahaya dunia. Ia jadi kenyataan apabila tiga orang anak Earl dilahirkan buta. Sumpahan lain pula menyebut rumah itu akan terbakar dan ia berlaku pada 1800.
Selain itu, menara ini juga popular dengan misteri jelmaan wanita berpakaian hitam yang menghantui kawasan ini. Dikatakan wanita itu adalah golongan bangsawan waris Earl yang bercinta dengan lelaki pangkat rendah. Cinta mereka dihalang kerana perbezaan darjat.
Lelaki yang dicintainya hilang. Ada yang menyebut lelaki itu telah meninggalkan kawasan tersebut, ada pula yang berkata lelaki itu telah dibunuh.
Kecewa cintanya terhalang, wanita bangsawan itu telah membunuh diri dengan terjun dari atas menara ini. Ada versi lain mengatakan wanita ini ditolak ahli keluarganya sendiri untuk menutup aib kerana telah mencemarkan nama keluarga mereka.
Dikatakan sebelum mati, wanita itu telah menyumpah kawasan menara tersebut dengan berkata, “Selagi cinta disiksa dan hati dikhianati, tempat ini tidak akan pernah aman.”
__
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

