Dua bekas pekerja kilang didakwa pecah amanah lebih RM2.9 juta

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

DUA bekas pekerja sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap harta milik syarikat bernilai lebih RM2.9 juta, antara Jun hingga Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, kedua–dua tertuduh, Koh Kian Hwee, 57, dan bekas rakan sekerjanya, Kua Hsean Soon, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dikemukakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka masing-masing didakwa selaku pengurus besar produksi dan pembantu pengurus produksi di syarikat terbabit yang diamanahkan dengan harta iaitu barangan mentah bernilai RM2,974,393.33, telah melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat itu di Jalan Genting Kelang, dekat Setapak, Kuala Lumpur antara 25 Jun 2024 sehingga 16 Oktober tahun yang sama.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga 14 tahun dan sebatan serta denda.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan sebarang jumlah jaminan ke atas kedua-dua lelaki terbabit memandangkan kes itu merupakan kes yang tidak boleh dijamin.

“Bagaimanapun jika mahkamah mempertimbangkan untuk membenarkan jaminan untuk kedua-dua tertuduh, pendakwaan mohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi dan turut mengenakan syarat tambahan,” katanya.

Manakala peguam, Carmen Eu Kah Mun yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan ke atas anak guamnya itu dan tidak membantah sebarang syarat tambahan.

“Anak guam saya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tiada risiko melarikan diri. Mereka juga tidak lagi bekerja dengan syarikat tersebut, oleh itu tiada risiko untuk mereka kacau ganggu terhadap siasatan kes.

“Kami memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah iaitu RM15,000 bagi kedua-dua tertuduh dan syarat tambahan boleh dikenakan kepada tertuduh,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan ke mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun depan bagi sebutan semula kes.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Robo.ai lancar platform NeuroStream™: Jawapan kepada kenaikan mendadak kos data visual global

Robo.ai Inc. (Nasdaq: AIIO), menerusi subsidiarinya Neurovia AI, secara rasmi melancarkan NeuroStream™, sebuah platform teknologi teras yang direka khusus...

More Articles Like This