KES kematian bekas pegawai kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Teoh Beng Hock, kira-kira 15 tahun lalu telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini.
Menurut AGC, pihaknya telah meneliti dan mengkaji keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, katanya, hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.
“PDRM telah merujuk kertas siasatan berhubung dengan kematian Teoh Beng Hock yang telah ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di bahagian luar koridor Tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam.
“Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.
“Oleh itu, arahan yang diberikan adalah supaya tiada tindakan lanjut diambil berhubung dengan kertas siasatan ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel lain: Polis guna teknologi 3D siasat semula kes kematian Teoh Beng Hock
Pada 21 November 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai respoden pertama hingga keempat.
Beng Hock ditemukan meninggal dunia selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian mendiang memutuskan kematiannya adalah akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

