Little Hajj Mega 2025 cipta rekod baharu, 11,903 murid sertai simulasi haji terbesar di Malaysia

Dari Penulis

Little Caliphs International Sdn. Bhd. (LCISB) mencipta Sejarah tersendiri dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak Islam di Malaysia apabila telah berjaya menganjurkan program Little Hajj Mega 2025, sebuah simulasi ibadah haji berskala besar yang melibatkan penyertaan serentak sebanyak 11,903 murid prasekolah dari seluruh negara.

Pengasas dan Ketua Pegawai Akademik LCISB, Datin Dr. Hajjah Sabariah Faridah Jamaluddin berkata, pencapaian ini adalah bukti kukuh bahawa Program The Little Caliphs (TLCP) bukan sekadar mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian dan keyakinan dari luar negara.

“Alhamdulillah, atas kepercayaan masyarakat daripada luar negara terhadap The Little Caliphs Program (TLCP), yang kini bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia, tetapi juga menjadi pilihan global dalam pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam,” katanya.

Berlangsung buat kali ke-12, jelas Sabariah, program ini secara tidak langsung dapat membina keyakinan dan kepimpinan dalam diri anak kecil.

“Apa yang menarik, anak-anak kecil ini sangat teruja dan berulang kali memohon doa ibu bapa agar mereka dikurniakan haji mabrur.

“Kami menyediakan modul haji sepanjang sebulan pengajaran untuk mereka tahu prosesnya dan secara tidak langsung dapat membina skil kepimpinan dan fokus untuk mendengar.

“Saya bersyukur diberi peluang oleh PERTIM (Persatuan Tadika Islam Malaysia) untuk kami laksanakannya sendiri dan tahun ini sudah memasuki tahun ke-12 haji cilik dijalankan,” tambahnya lagi.

Pelaksanaan serentak program ini di pelbagai lokasi seluruh Malaysia telah mencatat rekod kebangsaan apabila ia diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai “The Largest Simultaneous Participation of Children for Hajj Performing Programme.”

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan logistik dan perancangan yang rapi, tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Little Caliphs sebagai peneraju dalam pendidikan Islam prasekolah di negara ini.

Little Hajj Mega 2025 merupakan peluasan daripada program tahunan Little Hajj yang lazimnya melibatkan murid berusia enam tahun. Tahun ini, LCISB tampil dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan impak yang lebih luas apabila program ini dijalankan serentak di seluruh negara. Ia bukan sahaja menjadi acara pendidikan, malah melambangkan penyatuan visi dan semangat dalam mendidik generasi muda untuk mengenal dan menghayati rukun Islam sejak usia awal.

Lebih daripada sekadar acara simbolik, Little Hajj Mega 2025 dilaksanakan dengan pendekatan Project-Based Learning (PBL), yang memberi ruang kepada murid untuk mengalami sendiri setiap peringkat ibadah haji secara praktikal. Melalui pendekatan ini, mereka bukan sahaja mempelajari teori, tetapi turut merasai nilai spiritual yang terkandung dalam ibadah tersebut. Ini menjadikan pengalaman pembelajaran mereka lebih bermakna, mendalam dan penuh dengan elemen tarbiah.

Dalam majlis yang sama, LCISB turut berkongsi beberapa pencapaian terkini yang membanggakan. Antaranya ialah penerimaan anugerah Platinum Reader’s Digest Trusted Brand 2025, satu pengiktirafan yang membuktikan keyakinan berterusan ibu bapa terhadap jenama ini. Di samping itu, LCISB juga telah berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 bagi Sistem Pengurusan Kualiti (QMS), sekali gus menegaskan komitmen syarikat dalam mengekalkan kualiti pendidikan dan pengurusan yang bertaraf antarabangsa.

Lebih membanggakan, LCISB kini mengorak langkah ke peringkat global dengan pembukaan cawangan di Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom. Tambahan pula, syarikat ini merancang untuk membuka 22 lagi cawangan dalam tempoh empat tahun akan datang dan kini sedang dalam proses memperluaskan operasinya ke Indonesia serta meneroka potensi pasaran di Pakistan.

Lebih dua dekad beroperasi, LCISB kekal konsisten dalam menyampaikan pendidikan Islam prasekolah yang holistik, menyasarkan bukan sahaja pembangunan intelek, tetapi juga pembentukan akhlak dan sahsiah yang baik. Little Hajj Mega 2025 menjadi simbol kejayaan usaha berterusan ini – satu langkah besar dalam usaha membina generasi muda yang bukan sekadar cemerlang dalam akademik, tetapi juga tinggi nilai spiritual dan peribadi.

Dengan sokongan padu daripada warga pendidik, pengusaha tadika, ibu bapa serta komuniti, LCISB yakin bahawa misi untuk memperkasakan pendidikan awal Islam akan terus berkembang, bukan sahaja dalam negara, malah di pentas dunia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Perbezaan jantina mangsa tidak seharusnya membezakan kes jenayah seksual kanak-kanak

Oleh : Dr Haezreena Begum Abdul Hamid KES melibatkan seorang guru wanita yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar...

More Articles Like This