KUMPULAN legenda dari Indonesia, Sheila On 7 secara rasmi akan kembali ke Malaysia untuk sebuah festival antara dua negara Indonesia dan Malaysia iaitu Latihan Pestapora yang kini dipindahkan ke lokasi baharu, Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai depan.
Susulan sambutan hangat terhadap pengumuman barisan artis Fasa 1 pada bulan Mei lalu, festival ini meingkatkan skala dengan pengumuman barisan Fasa 2 yang menampilkan artis tersohor: Sheila On 7, Nadin Amizah, dan ALVN.

Perpindahan ke stadium terbesar di Malaysia ini akan memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk merasai pengalaman festival berskala besar yang tidak dapat dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata, Sheila On 7 bukan sekadar kumpulan muzik, mereka adalah sebahagian daripada kenangan dengan lagu-lagu yang menjadi anthem satu generasi.
“Kepulangan mereka ke Malaysia bukan hanya sebuah persembahan tetapi ia adalah detik yang bersejarah. Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baharu, kami bersedia untuk mengukir sejarah festival muzik di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, memaklumkan Pestapora adalah sambutan muzik dan komuniti dengan membawa semangat ini ke Malaysia adalah langkah yang tepat dan sangat bermakna buat mereka.
“Dengan Sheila On 7, Nadin Amizah, dan ALVN sebagai tambahan dalam lineup, kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara dalam satu malam yang penuh jiwa, muzik, dan kenangan,” ujarnya.

Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, pasukan asal di sebalik kejayaan festival ikonik Pestapora di Jakarta, edisi Malaysia ini bakal menghidupkan semangat muzik Nusantara dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Tiket Fasa 2 akan mula dijual pada 9 Jun ini, 12pm (GMT+8) di www.latihanpestaporamalaysia.com. Ini susulan penutupan jualan Fasa 1 yang menyaksikan ribuan peminat membeli tiket walaupun sebelum barisan penuh diumumkan.
KATEGORI TIKET FASA 2 BAHARU:
- Rockzone (Free Standing) – RM299
- GA (Free Standing) – RM249
- CAT 1 (Numbered Seat) – RM399 Kategori Baharu
- CAT 2 (Numbered Seat) – RM189 Kategori Baharu
Latihan Pestapora Malaysia 2025 turut menampilkan barisan artis Fasa 1 yang hebat, termasuk artis kegemaran dari Indonesia dan Malaysia seperti .Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi sekaligus menjadikannya pengalaman muzik silang budaya yang sebenar.
Terdahulu, acara ini sepatutnya berlangsung di Surf Beach Sunway Lagoon, Bandar Sunway, Subang Jaya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.latihanpestaporamalaysia.com

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

