DIHIASI dengan emosi dan kejutan, drama bersiri popular TikTok, Di Sebalik Permata, terus menjadi kegemaran ramai peminat yang tidak sabar menantikan musim terbarunya.
Mulai 6 Jun yang lalu, peminat setia musim pertama akan dapat menyaksikan sambungan kisah yang lebih dramatik dan penuh kejutan dalam Di Sebalik Permata musim kedua kali ini dengan plot yang lebih mendalam, manipulasi yang lebih ketara, dan ‘plot twist’ yang menggila.
Barisan pelakon seperti Putri Damia, Mizy Razuan, Umar Mukhtar dan Jeremy Bong kembali membawakan watak-watak utama dalam musim terbaru yang eksklusif ditayangkan di TikTok. Peminat bukan sahaja akan teruja menanti episod baharu, tetapi turut terbawa-bawa dengan emosi watak Natasya yang menjadi nadi cerita.
Pada hari pertama tayangan, Di Sebalik Permata 2 arahan Faiz Munir terus mendapat sambutan luar biasa daripada penonton yang ingin mengetahui kesudahan nasib Natasya.

Menurut Faiz, tiga episod baharu akan dimuat naik setiap hari di platform @tiktokdramamalaysia, dengan setiap satu menjanjikan konflik cinta yang lebih sengit dan mendalam berbanding musim sebelumnya.
“Selepas musim pertama meraih lebih 70 juta tontonan dan menerima banyak maklum balas positif, ramai yang menantikan sambungannya. Kami percaya masih banyak aspek cerita yang boleh diterokai, terutama mengenai hubungan Natasya dan Rayhan. Kali ini, kami tampilkan naratif yang lebih emosi dan mencabar,” jelasnya.
Penerbit turut menjangkakan musim kedua ini akan membuat penonton tak senang duduk.

“Kalau musim pertama pun sudah menyebabkan pertelingkahan di ruang komen, musim baharu ini pasti lebih gila. Kami tampilkan unsur lebih gelap — manipulasi, amnesia, cinta toksik, dan kemunculan watak misteri. Setiap episod direka dengan ‘cliffhanger’, jadi bersedialah untuk banyak kejutan,” katanya lagi.
Penerbit dari Mantayay Sdn Bhd juga menaruh harapan tinggi agar musim ini menerima sambutan lebih hebat, dengan penceritaan yang lebih berani dan mendalam.
“Musim kedua ini adalah tanda penghargaan kami kepada penonton yang setia sejak awal. Ramai yang sayangkan watak Natasya dan Rayhan, jadi kali ini kami bawakan kisah yang lebih emosional, penuh kejutan dan tentunya lebih ‘intense’.
“Harapan kami agar setiap episod bukan hanya ditonton, tetapi turut dikongsi. Kami tidak sabar melihat reaksi TikTok bila tiba ke klimaks musim ini,” tambahnya.
Untuk rekod, Di Sebalik Permata mula dilancarkan pada Januari 2024 sebagai drama berbahasa Melayu pertama di TikTok Malaysia. Keunikan jalan cerita dan adegan yang penuh kontroversi menjadikan ia tular dan menjadi buah mulut di media sosial serta liputan media arus perdana.
Musim pertamanya mencipta fenomena dan menjadi antara kejayaan besar di TikTok sepanjang tahun tersebut.
SINOPSIS DI SEBALIK PERMATA MUSIM KE-2
Dalam musim kedua ini, Natasya (lakonan Putri Damia) mengalami kehilangan ingatan dan diculik oleh bekas kekasihnya yang obses, Akmal (dilakonkan oleh Mizy Razuan), yang memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka masih bersama.
Sementara itu, Rayhan (Umar Mukhtar), suami Natasya yang benar-benar mencintainya, berjuang untuk mengembalikan kepercayaan isterinya, membongkar kebenaran, dan menyelamatkannya daripada penipuan.
Dalam perjalanan yang penuh kekeliruan dan konflik emosi, Natasya turut dipertemukan dengan seorang lelaki baharu. Siapakah akhirnya yang akan menjadi pilihan hatinya?
Musim kali ini menyelongkar identiti, dendam, dan rahsia silam yang mencabar persepsi penonton terhadap apa yang selama ini mereka percayai tentang watak-watak utama.
Dengan adegan penuh emosi, pengkhianatan serta pendedahan yang mengejutkan, musim kedua dijangka akan terus mencetuskan perbualan hangat di kalangan peminat di TikTok. Jalan cerita yang sukar diduga dan sarat konflik menjanjikan pengalaman menonton yang mendalam dan penuh keterujaan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

