Lazimnya apabila kita memakai seluar, sudah tentu ia diperbuat daripada material kain. Namun, pernahkah anda mendengar seluar yang diperbuat daripada kulit manusia? Mendengarnya saja sudah terasa pelik, bukan?
Tahukah anda, seluar ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi masyarakat pada abad ke-17 dahulu di Iceland. Pada ketika itu, seluar daripada kulit manusia ini adalah perkara biasa terutama kepada golongan ahli sihir.
Cerita tentang seluar ini wujud dalam kisah rakyat Iceland. Seluar kulit manusia ini dikenali dengan nama necropants. Sebuah muzium di Holmavik, Iceland ada mempamerkannya.

Museum Of Icelandic Sorcery & Witchcraft telah menempatkan seluar yang berusia berabad lamanya ini untuk tontonan pengunjung. Walaupun sudah berusia ratusan tahun, necropants ini masih utuh kerana telah diawet dan dipelihara dengan baik oleh pihak muzium.
Difahamkan itulah satu-satunya necropants asli yang masih wujud sehingga ke hari ini. Pemilik kepada seluar yang ditempatkan di muzium itu juga bukanlah daripada kalangan orang biasa. Ia dipercayai milik seorang lelaki yang memiliki ilmu sihir tinggi.
Bagaimana seluar daripada kulit manusia ini dihasilkan? Adakah kulit itu perlu dilapah? Disiat? Ya, benar! Kulit itu perlu dilapah!
Bukan sekadar melapah, bahkan proses untuk mendapatkannya juga adalah rumit dan hanya boleh dilakukan bagi mereka yang berhati kental, berpengalaman dan berilmu tinggi sahaja.

Untuk membuat necropants atau seluar kulit manusia ini, ia perlulah diambil daripada kulit orang yang sudah meninggal, tetapi dengan syarat sudah mendapatkan keizinan orang tersebut sebelum mati. Oh ya, hanya mayat lelaki saja yang diperlukan untuk membuat seluar ini.
Bercerita mengenai seluar di muzium tersebut, pemilik busana itu telah berjanji dengan sahabat baiknya yang juga merupakan seorang pengamal sihir. Jika ada antara mereka yang mati dahulu, maka rakan yang seorang lagi dibenarkan untuk menggali semula kubur lalu melapah kulit si mati untuk dijadikan necropants. Setelah dipersetujui, barulah proses ini dapat dijalankan.
Melapahnya pula bukan boleh dilakukan dengan sesuka hati. Penggali mestilah memastikan kulit mayat yang dilapah daripada paras pinggang hingga ke hujung kaki berada dalam satu kepingan termasuk bahagian sulit tanpa sebarang lubang atau calar. Maksudnya tidak boleh ada cacat cela sedikit pun. Jika ada kecacatan maka tidak menjadilah seluar ini.
Usaha penggali bukanlah hanya terhenti di situ. Setelah berjaya melepasi proses melapah, dia harus mencuri duit syiling. Duit syiling itu juga bersyarat. Bukan boleh diambil daripada sembarangan orang dengan sesuka hati.
Bagi menyempurnakan necropants, hanya duit syiling yang dicuri daripada balu si mati saja yang boleh digunakan. Mengapa mesti dicuri? Kerana itulah yang memperkuatkan ritual sihir dalam amalan tersebut.
Syiling itu akan diletakkan di bahagian skrotum, iaitu di tempat alat sulit kulit yang dilapah tadi. Sebab itu menjelaskan mengapa hanya mayat lelaki yang boleh digunakan untuk proses menghasilkan seluar aneh ini.
Dipercayai selagi duit syiling itu tidak dikeluarkan, seluar itu akan terus ‘menghasilkan’ wang tanpa henti. Selain itu, tanda atau simbol yang disebut nábrókarstafur turut diletakkan bersama. Ia dilukis di atas sekeping kertas.
Mereka percaya bahawa simbol ini adalah ajaib dan akan membawa tuah jika ia diletakkan bersama syiling yang dicuri tadi. Namun itu hanyalah kepercayaan. Sejauh mana kesahihannya hingga sekarang masih belum dapat dibuktikan secara saintifik.

Mengapa perlu proses yang amat rumit hanya untuk mendapatkan sepasang seluar pelik daripada kulit manusia? Tujuan utama necropants dibuat adalah untuk menjadi kaya dengan cara yang cepat dan singkat kerana golongan ahli sihir serta masyarakat pada zaman itu percaya amalan ini akan membawa rezeki yang melimpah kepada si pemakainya.
Selain itu, pengamal sihir pada abad ke-17 juga percaya bahawa kuasa ajaib dan ilmu boleh dipindahkan dengan memakai kulit sahabat mereka yang telah meninggal tadi.
Setelah dipakai, seluar kulit tersebut akan melekat ke atas tubuh si pemakai. Maka hiduplah ia dengan memakai kulit sahabat sendiri sehingga mati. Setelah pemakai itu mati, maka proses yang sama juga akan diteruskan.
Begitulah salah satu amalan pelik zaman dahulukala.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

