Pintu tiba-tiba terbuka. Tu… ada perempuan rambut panjang!

Dari Penulis

Kata orang, hanya mereka yang berani sahaja yang mampu berkhidmat sebagai pemandu van jenazah. Tidak semua orang mahu atau berani melakukan tugas tersebut. Tambahan pula pada waktu malam. Sekiranya ada kematian pada waktu malam, memang sangat susah untuk mencari pengganti sekiranya saya ada urusan.

Kalau siang, ada juga yang sanggup membantu. Bukan hendak katakan kepada orang lain, kadang-kadang bilal atau imam masjid sendiri pun tidak mahu membantu menghantar jenazah sekiranya pada waktu malam.

Malam itu sendiri sudah menakutkan bagi sesetengah orang. Ada yang tidak berani keluar malam-malam sendirian. Bukan untuk menghantar jenazah, tetapi untuk membeli makanan atau sebagainya, pun ada yang berasa takut.  

Saya akui hakikat itu. Tidak mudah sebenarnya untuk tugas sebagai pemandu van jenazah ini. Kadang kala kita sengaja diuji oleh Allah untuk melihat sejauh mana keberanian dan juga tahap keimanan kita kepada Allah.

Namun, hakikat sebenarnya yang kita mesti tahu, tugasan selalu berurusan dengan jenazah ini membuatkan kita dekat dengan Allah dan selalu mengingati mati. Hari ini kita menghantar jenazah orang, mana tahu esok lusa, jenazah kita pula yang akan dibawa ke kuburan.

Sebagai pemandu van jenazah, saya ada beberapa pengalaman menarik untuk dikongsi. Kisah ini bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi sekadar satu perkongsian sahaja.

LEBIH KURANG pukul 3.00 pagi, saya bersama seorang kawan baru sahaja selesai menghantar jenazah. Hari itu ada dua kematian yang harus saya uruskan. Kami bekerja sejak pagi lagi tanpa henti.

Tubuh saya juga terasa sangat penat. Kaki, tangan dan segala sendi terasa lenguh. Mata mula mengantuk, mahukan tidur dan rehat. Rakan saya juga mula menunjukkan gelagat yang sama. Matanya sekejap terbuka, sekejap tertutup.

Mata saya terasa seperti ada gam. Sangat berat untuk membukanya. Perjalanan balik ke rumah masih lagi jauh, lebih kurang satu jam perjalanan, namun saya kuatkan juga. Memang pedih mata menahannya, mood pun hilang.

Bermacam-macam cara saya cuba lakukan,  mata saya masih juga terasa berat. Ditambah pula dengan kedinginan malam, menambahkan lagi rasa mengantuk. Sedang saya memandu menghayati suasana malam, tiba-tiba rakan saya bertempik kuat.

“Tengok tu!” katanya sambil menudingkan jari ke arah depan.

Saya lihat tiada apa-apa di depan. Saya ingatkan dia sudah lena, tapi belum rupanya. Dia segera bingkas bangun dan perbetulkan duduknya.

“Ada apa?” soal saya.

“Aku nampak ada perempuan rambut panjang kat depan tu tadi!” katanya.

“Mana ada. Aku tak nampak pun. Kau mamai ni,” ucap saya.

“Tak! Aku nampak. Aku tak tidur lagi,” balasnya.

Saya suruh dia bertenang. Kata saya tiada apa-apa. Mungkin itu hanya perasaannya sahaja. Kita orang, kalau kita banyak berangan dan berimaginasi, tidak mustahil apa yang diangan dan dibayangkan itu terjelma di pandangan mata. Mungkin juga benda yang dikatakan perempuan itu sebenarnya biasan cahaya atau objek yang samar-samar bentuknya bila dilihat dari jauh.

Begitulah yang saya fikirkan. Namun tanpa diduga, sebaik sahaja saya menghabiskan kata-kata, saya nampak seorang wanita berambut panjang dan berpakaian putih berdiri di bahu jalan.

“Ituuuuu…!!!” jerit kawan saya.

“Diam-diam… jangan tegur,” kata saya separuh berbisik.

Saya tidaklah takut dengan makhluk seperti itu, cuma apabila berada dalam situasi begitu, terasa juga gementar dan terkejut. Manakan tidak, ia dengan tiba-tiba sahaja berada di depan mata. Wajah wanita itu tidak kelihatan, cuma tubuhnya sahaja yang terpacak di tepi jalan.

Saya terus memecut van dengan laju. Akibat terkejut, badan yang tadinya letih serta-merta terasa segar. Mata juga terbuka luas. Hilang terus mengantuk Saya lihat kawan saya juga sama.

“Huh! Mujur nampak benda tu. Segar sikit mata. Kalau tak mengantuk saja,” kata saya sambil ketawa kecil.

Itu pengalaman saya bersama seorang rakan. Pengalaman kedua pula saya lalui juga pada waktu malam. Ia berlaku sewaktu saya seorang diri menghantar jenazah ke kampung halamannya. Saya masih ingat, hari itu, selesai sahaja saya menghantar jenazah, saya terus pulang.

Jam ketika itu lebih kurang pukul 7.40 malam. Waktu itu saya belum lagi solat Maghrib. Bagi mengelakkan daripada terlepas solat, saya memecut laju mencari masjid. Beberapa minit kemudian saya terjumpa sebuah surau kayu yang berada di tepi jalan. Kelihatan seperti surau lama.

Sewaktu saya tiba ada beberapa orang jemaah sedang duduk berehat di depan masjid. Saya memberi salam dan terus mengambil wuduk untuk bersolat. Selesai solat, saya menegur beberapa orang jemaah yang sedang berbual tadi. Mereka berasal dari kampung itu. Mereka juga bertanya jenazah siapa yang saya hantar. Saya beritahu mereka yang saya menghantar jenazah si polan.

“Oh! Orang kampung sebelah kot. Tak kenal nama tu,” balasnya.

“Oh ye ke? Saya ingatkan orang kampung ni,” balas saya.

Sedang kami berbual hanya seketika, tiba-tiba salah seorang daripada jemaah itu menegur saya.

“Eh! Kenapa nampak macam van tu bergoyang-goyang?” katanya.

Seraya itu mata kami terus memandang ke arah van. Memang benar, kami nampak van seperti bergegar. Saya terus merapati van dan intai ke dalam. Risau juga saya jika ada ahli keluarga arwah yang tertinggal. Tapi tiada sesiapa.

Belum sempat saya membuka pintu van, dengan tidak semena-mena pintu van sebelah belakang terbuka dengan sendiri. Saya terkejut, tapi buat-buat selamba. Sengaja saya buat begitu sebab tidak mahu dua orang jemaah itu terkejut.

“Saja buka. Nak tengok kut-kut ada sesiapa,” kata saya.

Memang tiada orang di dalam van. Saya menutup kembali pintu itu dan meminta izin untuk pulang. Semuanya saya lakukan dengan tenang dan bersahaja, sedangkan sebenarnya waktu itu saya sendiri berasa hairan, macam mana pintu van boleh terbuka dengan sendiri.

Memang aneh, mengapa van yang kami bawa itu bergoyang-goyang dan pintunya terbuka sendiri. Ia tak mungkin berlaku kalau tiada orang yang melakukannya. Tapi kalau tiada orang, macam mana? Jin? Syaitan?

Perjalanan diteruskan. Sewaktu dalam perjalanan, sayup-sayup saya terdengar suara laungan azan Isyak. Habis sahaja azan, sekali lagi perkara aneh berlaku. Saya terdengar seperti suara yang sangat ramai di belakang van. Tetapi bunyinya tidaklah begitu kuat.

Segera saya menoleh ke belakang. Tiada pula sesiapa. Bahagian belakang van kosong. Sambil membawa van, saya laungkan azan. Selesai saya melaungkan azan, suara itu terus hilang. Selepas itu suasana seperti sedia kala. Tiada lagi bunyi pelik atau apa-apa berlaku sehinggalah saya sampai ke masjid.

KADANG-KADANG apabila berseorangan ini perkara yang paling dibimbangkan bukanlah hantu, tetapi bimbang sekiranya kereta rosak atau pun apa-apa berlaku semasa dalam perjalanan. Itu yang paling merisaukan.

Saya sebenarnya bukanlah seorang yang takut dengan makhluk yang dikatakan hantu ini. Tetapi sebagai manusia, tidak dinafikan sesekali datang juga perasaan takut itu. Satu peristiwa lucu yang saya alami ialah sewaktu menghantar jenazah balik ke Kedah. Ketika itu waktu malam dan saya berseorangan.

Malam sebelum itu, saya ada menonton sebuah cerita hantu dari Thailand. Cerita itu seram juga. Kisahnya juga berkisar di jalan raya. Sewaktu penghantaran jenazah, saya tidak teringat akan cerita itu. Tetapi semasa seorang diri dalam perjalanan pulang, tiba-tiba sahaja cerita itu menerjah kembali fikiran saya. Watak-watak hantu yang menakutkan dalam filem itu terbayang satu persatu di kotak fikiran.

Tiba-tiba sahaja saya menjadi gementar. Bimbang sekiranya babak dalam cerita itu benar-benar terjadi ketika itu. Hati saya dengan tidak semena-mena berdebar-debar. Sekejap-sekejap mata saya melihat cermin belakang. Bimbang sekiranya ada yang menumpang.

“Hish! Kacau sungguhlah. Aduh…” saya mengeluh sendirian.

Waktu itu bermacam-macam perkara terlintas dalam fikiran saya. Nampak pokok di tepi jalan pun saya mula terbayang yang pelik-pelik. Bunyi besi berlaga di sebelah belakang van juga membuatkan saya gementar.

“Awat jadi macam ni pulak ni,” kata saya.

Saya memecut van dengan laju. Perjalanan pulang terasa sangat jauh, terasa sangat lambat untuk sampai ke rumah. Entah mengapa malam itu saya rasakan begitu. Paling melucukan apabila dari jauh saya nampak kain rentang berwarna putih. Waktu itu memang saya berasa takut. Saya sangka kan kain rentang itu adalah hantu.

Itulah pengalaman yang paling menakutkan sepanjang saya memandu van jenazah. Walhal dalam perjalanan saya langsung tidak bertemu dengan makhluk itu. Tetapi sepanjang perjalanan hati saya berdebar-debar sehinggalah sampai ke rumah. Apabila mengenang kembali saat itu, ia sangat melucukan.

Banyak lagi sebenarnya cerita yang saya temui sewaktu memandu van jenazah. Tapi kebanyakannya hanyalah lintasan sahaja. Sesekali ‘dia’ lalu di depan van. Kadang-kadang ia membuatkan kita terkejut. Bukannya takut.

Tapi bagi saya itu semua ialah ujian. Kalau kita tidak kuat, pasti kita akan tewas. Hanya Allah yang perlu ditakuti. Kadang-kadang benda itu hanya mahu menguji keberanian dan keimanan kita.

Satu lagi, bagi pendapat saya, kehadiran makhluk-makhluk ini bukanlah disebabkan saya memandu van jenazah atau sebagainya. Bagi saya makhluk ini ada di mana-mana sahaja. Sekiranya kita tidak bernasib baik, dia akan mengganggu kita. Cuma, secara kebetulan boleh dikatakan setiap kali saya bertembung dengan makhluk ini ialah pada waktu malam. – Pencerita: Zahidi Bin Azhar, seorang pemandu van jenazah.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This