DATUK Seri Rafizi Ramli yang cutinya tamat hari ini susulan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi menyifatkan beliau banyak terhutang budi dengan semua penjawat awam di Kementerian Ekonomi sepanjang menjawat jawatan itu.
Dalam hantaran di Facebook, penghargaan itu diberikan Rafizi kepada semua kakitangan Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi di bawahnya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Kementerian Ekonomi merentasi semua sektor dalam dan luar negara dari segi ekonomi makro, kewangan, pertanian, perindustrian, pendidikan, kesihatan sehingga kepada perpaduan negara.
Walaupun namanya ‘ekonomi’, Rafizi berkata, fungsi teras kementerian itu adalah sebagai agensi pusat yang membangunkan perancangan makro negara dalam semua bidang.
“Skop kementerian ini sangatlah luas. Seorang menterinya perlu tahu mengenai pertanian, kesihatan, tenaga, pendidikan dan semua bidang sehinggalah pelaksanaan projek, selain dari skop biasa yang bersabit makro ekonomi.
“Sesiapa yang pernah menjadi menteri dua ke tiga penggal pun perlu banyak menelaah, apatah lagi seorang yang tidak pernah menjadi menteri.
“Sebab itu, saya terhutang budi kepada semua penjawat awam ini. Saya banyak belajar dari mereka dalam menjalankan tugas saya, lebih banyak dari mereka belajar dari saya.
“Seseorang yang baru menjadi ketua dalam organisasi yang besar dan skop yang luas, perlu banyak bertanya untuk belajar,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Rafizi sudah kemas pejabat, beri bayangan kekal letak jawatan
Mengulas lanjut, Rafizi menyifatkan seseorang menteri itu tidak akan dapat membina kemahiran yang diperlukan dalam tempoh yang singkat sekiranya penjawat awam kedekut ilmu, tidak memberi jawapan betul atau culas dalam memberi jawapan yang komprehensif.
Pada masa sama, beliau turut mengakui mengalami pengalaman yang manis sahaja sepanjang saya berkhidmat bersama-sama penjawat awam di Kementerian Ekonomi.
“Seperti yang saya sebut dalam ucapan terakhir Jumaat lepas, saya tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri dari penjawat-penjawat awam yang sayangkan negara.
“Saya akan siarkan ucapan terakhir saya kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat. E-mel kepada setiap warga Kementerian Ekonomi, sebagai rasa terima kasih atas budi baik mereka, juga akan saya hantar hari ini.
“Lazimnya kita mengingati kenangan manis dengan cenderahati. Ada banyak cenderahati daripada kakitangan Kementerian Ekonomi dan saya berterima kasih.
“Tetapi cenderahati paling besar yang saya bawa pulang adalah ilmu yang saya terokai, hasil tunjuk ajar saudara-saudari semua,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

