AKTOR berbakat besar, Josiah Hogan mendedahkan tidak mengetahui secara terperinci mengenai isu ketegangan yang berlaku antara pengarah Shuhaimi Zulkefli dengan penerbit Misteri Fraser 1910.
Josiah atau Josiah Padilla Hogan,38, akui sebagai pengarah, Shuhaimi sudah melakukan tanggungjawabnya dengan baik biarpun berdepan kekangan seperti masa dan dana.
“Walaupun saya tahu serba sedikit pergeseran yang berlaku membabitkan pengarah dan penerbit, tapi saya pilih untuk tidak masuk campur.
“Saya pun tak tahu puncanya tapi menyedarilah situasi agak serius. Untuk saya sebagai pelakon, Shuhaimi sudah menyelesaikan sesi penggambaran dari awal hingga akhir seperti yang ditetapkan,” katanya kepada URTV.

Josiah berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Misteri Fraser 1910 di pusat beli-belah Kuala Lumpur, semalam.
Selain Josiah, Misteri Fraser 1910 yang akan ditayangkan bermula 26 Jun ini turut menampilkan pelakon seperti Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Datuk Rahim Razali dan A Galak.
Tambah Josiah, tawaran untuk melakonkan watak Mr Fraser itu diterima disebabkan pengarah itu sendiri.
“Saya dan Shuhaimi sudah lama berkawan di Facenook. Saya memang sentiasa menantikan tawaran untuk berlakon di bawah arahannya.
“Saya sangat puas hati dapat bekerja dengan dia. Malah, pendapat saya, Shuhaimi sudah buat yang terbaik untuk filem sulungnya.
“Dengan bajet dan kekangan masa, rasanya dia boleh diberikan kredit untuk perkara tersebut,” jelasnya.
Shuhaimi tidak diundang untuk menghadiri tayangan perdana filem berkenaan atas faktor tertentu.
Untuk info, pada Mac lalu, penerbit Millionaire Films Production Sdn Bhd menuntut Shuhaimi membuat permohonan maaf berikutan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa dibuat di akaun media sosial miliknya.
Shuhaimi mendakwa, penerbit tidak membayar gaji kru selain filem itu turut disekat untuk ditayangkan kepada penonton.
Malah, syarikat penerbitan yang dimiliki oleh Kapten (B) Amai Kamarudin dan Elani Aidid itu juga menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

