BILA menyebut nama DJ Sonic, pastinya ramai yang akan teringat dengan kepetahan apabila berceloteh di corong radio sekaligus mengubah suasana suram kepada ceria dengan gelak tawa.
Namun, di sebalik personaliti yang penuh keceriaan itu, pemilik nama sebenar Awang Suffian Awang Hussein itu pernah melalui detik hitam dalam hidupnya apabila kehilangan bapa tercinta, Awang Hussin Awang Jinal, pada 29 Februari tahun lalu.

Arwah bapanya meninggal dunia akibat masalah dalaman perut. Ketika kejadian, DJ Sonic berada di Kuala Lumpur kerana urusan kerja selepas seminggu menjaga ayahnya di hospital.
Ketika dibenarkan pulang ke rumah, keadaan arwah stabil. Namun, tidak lama kemudian, ibunya menghubunginya dan memaklumkan bahawa ayahnya dikejarkan ke hospital semula.
Tanpa membuang masa, dia segera menempah tiket penerbangan ke Kapit, Sarawak.
Namun, segalanya sudah terlambat. Sebaik pesawat mendarat di Sibu pada pagi itu dan telefon bimbit diaktifkan, skrin telefonnya dipenuhi dengan mesej-mesej ucapan takziah.

Perasaannya hancur. Air mata mengalir deras dalam pesawat yang belum pun berhenti sepenuhnya.
Perjalanan hampir tiga jam dari Sibu ke Kapit menjadi saat paling memilukan dalam hidupnya, perjalanan sunyi tanpa kata, hanya ditemani air mata dan kenangan bersama arwah.
“Saya langsung tak bersuara dalam kereta masa tu. Saya hanya menangis. Tapi saya tetap bersyukur kerana sempat mandikan jenazah ayah dan memeluknya buat kali terakhir,” katanya dalam nada penuh emosi.

Dua minggu selepas kehilangan itu, DJ Sonic mengambil keputusan untuk berehat daripada ke udara di radio. Menurutnya, dia tidak mampu berpura-pura gembira ketika hatinya masih berduka.
“Bersiaran perlukan kestabilan emosi. Kita perlu gembirakan orang. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu,” luahnya.
Kesedihan yang tidak dirawat dengan betul akhirnya menjejaskan kesihatan mentalnya.
Menjelang Jun dan Julai 2024, DJ Sonic mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius. Berat badannya turun mendadak selain tidak mampu bekerja selama sebulan.
Untuk mencari ruang memulihkan diri, dia pulang ke Kuching dan dirawat oleh adiknya. Di sana, proses pemulihan mula berjalan secara perlahan-lahan.
Namun, hanya hampir setahun kemudian barulah DJ Sonic benar-benar terbuka untuk meluahkan perasaannya yang terpendam.
Pada 3 Ogos lalu, dia menyertai sesi terapi bersama Dr Hisham Dzakiria, seorang pakar dalam pembangunan emosi dan kesihatan mental.
Buat pertama kalinya, DJ Sonic meluahkan kesedihannya secara terbuka tentang pemergian ayahnya.
Sepanjang sesi lebih satu jam itu, di tidak mampu menahan air mata. Bukan sekadar kerana rindu, tetapi juga rasa bersalah kerana tidak sempat meluangkan lebih banyak masa dengan arwah semasa hayatnya.
“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tiada, baru terasa betapa besarnya kehilangan itu,” luahnya jujur.
Dalam sesi itu, Dr Hisham membantu melihat kehilangan itu dari sudut yang lebih positif.
Beliau mengajak DJ Sonic untuk berdamai dengan emosinya dan menukar rasa bersalah kepada penghargaan atas kasih sayang yang pernah terjalin.
Menurut Dr Hisham, tangisan bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kasih yang mendalam.
Sebagai seorang anak, DJ Sonic perlu berbangga kerana setiap lagu yang diputarkan dan setiap suara yang dikongsi di udara merupakan satu bentuk penghormatan kepada insan yang telah membesarkannya.
“Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah ketika bersiaran, tapi saya terus menangis.
“Saya belum kuat. Tapi bila doktor cakap lagu tu bukan kenangan sedih, tapi penghormatan, saya mula ubah cara saya lihat perkara tu.
“Sekarang saya cuba untuk reda dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu,” katanya sambil mengesat air mata.
Kini, walaupun masih menjalani rawatan untuk menguruskan anxiety, DJ Sonic perlahan-lahan kembali bangkit dengan semangat yang lebih tenang dan stabil.
Dia percaya proses penyembuhan bukan satu destinasi, tetapi sebuah perjalanan berterusan.
Dan dalam setiap langkahnya, memori serta kasih sayang arwah ayah akan terus menjadi sumber kekuatan dan cahaya buat dirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

