IMPIAN selama 11 tahun akhirnya tertunai dengan menyaksikan penyanyi Hael Husaini tampil menerusi konsert sulung, Hael Husaini and The Repertoire di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Konsert yang berdurasi dua jam 30 minit itu bukan sahaja menghimpunkan karya-karya terbaik ciptaan Hael, tetapi turut menjadi perayaan istimewa terhadap perjalanan seninya selama 11 tahun dalam industri muzik tanah air.
“Konsert ini adalah manifestasi kepada segala jatuh bangun saya dalam bidang muzik.

“Ia bukan sekadar persembahan, tetapi lambang penghargaan saya kepada peminat, rakan-rakan artis, dan semua yang mempercayai saya sejak awal lagi,” katanya.
Mengangkat tema repertoire Hael mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hit miliknya serta karya ciptaannya yang pernah dipopularkan oleh artis-artis ternama industri tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita masing-masing tampil di atas pentas, mempersembahkan lagu-lagu ciptaan Hael dengan gaya yang tersendiri.

Lebih istimewa apabila kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu ciptaan Hael iaitu Anta Permana sekaligus mengubah suhu dalam dewan menjadi gegak gempita!

Pada awalnya, nama Siti tidak didedahkan sebagai penyanyi jemputan bersama lima artis lain yang terlebih dulu dikongsikan.
Sudah tentu, kehadiran penyanyi nombor satu negara itu memberi senyuman dan kegembiraan peminat yang membanjiri segenap ruang premis.

Difahamkan, Siti sempat meluangkan masa menberi sokongan kepada Hael sebelum bergegas menghadiri sebuah program di televisyen yang sudah dijadualkan lebih awal.
“Kak Iti nak tunggu lagu duet Hael dan Dayang, tapi macam tak sempat,” kata Siti di atas pentas.

Tidak ketinggalan, kemunculan juara program realiti Big Stage Alpha iaitu ALPHA diberi peluang sebagai pembuka tirai konsert.
Mereka mempersembahkan lagu-lagu Hael seperti Bujang dan Lara sekali gus memperlihatkan kesinambungan bakat baharu yang turut Hael bimbing ketika menjadi juri program tersebut.

Sepanjang konsert, Hael berkongsi perjalanan jatuh dan bangunnya bergelar anak seni yang tidak seindah di sangka.
Menerusi lebih 20 buah lagu bersama rakan penyanyi, Hael menterjemahkan seluruh perasaannya kepada peminat.

Nisan Cinta, Kelentang Kelentong, Usia, Belenggu Rindu, Haram, Jampi, Cemburu, Vroom Vroom, Bujang, Diam, Bukan Lagi Kita, Hari Ini, Hajat dan banyak lagi.

Hael Husaini & Repertoire dibawakan istimewa oleh Astro bersama Rocketfuel Entertainment.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

