JIKA dahulu personaliti media sosial dan usahawan Christy Ng sering di salah anggap sebagai seorang yang berperwatakan serius, garang dan sukar didekati.
Namun,sejak kemunculan The Bengap Brothers, presepsi wargamaya akhirnya berubah setelah melihat personaliti ‘gila-gila’ jika setiap kali muncul di dalam konten media sosial.
“Sesetengah orang anggap saya sudah berusia sekitar 56 atau 57 tahun. Ia mungkin disebabkan wajah yang serius dan agak garang selain banyak tanggungjawab yang perlu saya galas.
“Tapi sebenarnya saya ni seorang yang sangat santai, otak masuk air dan gila-gila. Bila saya bersama The Bengap Brothers, saya dapat rasakan sisi jenaka dalam diri mula terserlah.
“Itulah kelebihan kandungan media sosial sebab orang mula sisi berbeza saya dan pekerja lain,” katanya kepada URTV.

Christy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan semula butik jenamanya di pusat beli-belah Mytown Cheras, semalam.
Ujar Christy, pada awal pembabitannya sebagai content creators, dia akui tidak dapat menyesuaikan diri namun lama kelamaan dia semakin selesa.
“Awalnya memang saya kekok dan terpaksa tebalkan muka macam dinding. Saya hanya fikir buat konten saja, kena beranikan diri…tak boleh malu-malu sebab kalau malu saya tak dapt nak tarik perhatian.
“Semua idea dan konsep konten adalah hasil perbincangan bersama. Kami mahu memberikan mesej positif yang boleh dijadikan ikutan warganet,” jelasnya.

Tambah Christy, dia sendiri tidak menjangkakan impak yang diperoleh sebaik sahaja The Bengap Brothers menjadi sorotan ramai.
“Kita hentam saja…tak sangka popular. Semua The Bengap Boys adalah pekerja sepenuh masa yang mana masing-masing ada tugas hakiki sendiri.
“Ada yang sudah bekerja dengan saya selama 10 tahun. Setiap hari saya akan lihat muka mereka.
“Mungkin muka mereka tak seperti Brad Pitt tapi wajah mereka kacak dan eksotik…yang mudah untuk orang ingat.
“Mereka adalah sebahagian besar dalam hidup saya. Kalau nak tahu, dibelakang kamera perwatakan mereka lagi bongok, lagi gila dan bengap!,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Gelaran The Bengap Brothers diberi oleh peminat gara-gara video parodi filem Blood Brothers.
Sementara itu, Christy juga terbuka untuk menceburi bidang lakonan selepas menyaksikan sendiri penerimaan orang ramai menerusi konten-konten di media sosialnya.
“Secara peribadi saya rasa, kita boleh menawarkan banyak idea kepada industri. Kami mencipta kandungan yang bermakna dan kami akan jadi penambahan yang menarik kepada industri filem tempatan.
“Sebab kami mampu mencipta kandungan untuk mempromosikan produk dan satu hari nanti mungkin filem,” katanya.
Bercakap tentang pembukaan semula butik jenamanya, Christy berkata, ia merupakan salah satu cawangan terawal dalam perjalanan empayar perniagaannya dan kini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden serta eksklusif.

“Butik ini adalah antara pencapaian terawal dan mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan kami.
“Saya masih ingat ketika kami hanya memperoleh RM50 sehari. Kini, ia menjadi salah satu butik kami yang paling berjaya.
“Dengan reka bentuk semula ini, kami ingin mencipta lebih daripada sekadar ruang membeli-belah dan kami mahu membina satu pengalaman yang mencerminkan perkembangan jenama kami serta cita rasa pelanggan,” ulasnya.

Butik tersebut mula beroperasi pada 2017 sebagai cawangan ketiga sebelum diubah suai dan dibuka semula.
Selepas kejayaan pelancaran butik utama di Jakarta, Indonedia pada Februari lalu, jenama ini bakal menembusi pasaran Filipina dengan pelancaran butik di Manila pada Oktober tahun ini.
Ia salah satu usaha membawa nama Malaysia ke Asia Tenggara seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

