Di kawasan pergunungan Borneo Highlands di Kuching, Sarawak, terdapat sebuah batu besar yang dikenali sebagai Batu Panggah, atau dalam bahasa tempatan juga disebut sebagai Batu Rumah Kepala.
Perkataan ‘panggah’ bermaksud ‘rumah kepala’. Ini kerana batu tersebut kononnya berasal daripada sebuah rumah yang dijadikan tempat untuk menyimpan tengkorak musuh sebagai simbol kemenangan. Batu ini popular dengan legenda sumpahan yang dikaitkan dengan cinta terlarang.

Menurut kisah yang diceritakan secara turun temurun, pada zaman dahulu ada dua buah kampung yang saling bermusuhan sehingga penduduknya dilarang untuk menjejakkan kaki ke dalam sempadan masing-masing.
Namun, seorang pemuda dan gadis dari kedua buah kampung tersebut jatuh cinta. Mereka cuba merahsiakan hubungan tersebut kerana tahu, cinta mereka pasti tidak akan direstui kerana permusuhan antara kampung tersebut.
Namun, rahsia percintaan mereka akhirnya terbongkar dan sampai ke pengetahuan ketua kampung (yang dipanggil Tuai Rumah). Lalu pasangan itu diarahkan agar ditangkap, tidak kira hidup atau mati.
Arahan itu menyebabkan pasangan kekasih itu ketakutan lalu melarikan diri ke dalam hutan. Ketika itu, hujan lebat turun yang membuatkan mereka mencari tempat untuk berteduh.

Mereka sampai ke sebuah rumah kayu. Malangnya, mereka tidak tahu bahawa itu bukan rumah biasa. Rumah yang mereka masuki ialah Rumah Kepala, tempat penyimpanan kepala musuh dan tengkorak sebagai simbol kemenangan. Legenda pula menyebut, kaum perempuan dan kanak-kanak dilarang masuk ke dalam rumah itu.
Apabila pasangan kekasih itu masuk ke dalam, kilat telah menyambar rumah itu dan menukarnya menjadi batu yang besar dan bentuknya seakan wajah manusia.
Pasangan kekasih itu terperangkap di dalam buat selama-lamanya, tidak dapat lagi keluar apabila semua pintu dan laluan telah tertutup apabila rumah itu bertukar menjadi batu gergasi.
Apabila penduduk kampung yang mencari mereka tiba di situ, barulah mereka tahu pasangan kekasih itu sudah terkubur di situ apabila melihat rumah itu sudah bertukar rupa.
Sejak itu, batu tersebut dipanggil sebagai Batu Panggah yang menjadi saksi bisu dalam percintaan yang terlarang.

Permukaan batu ini jika dilihat seakan wajah manusia, ada bentuk mata, hidung dan mulut. Ia kini menjadi salah satu tempat tarikan pelancong di Borneo Highland.
Pengunjung yang datang ke sini dengan berjalan melalui trek hutan juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti mandi di air terjun berdekatan, selain menikmati keindahan alam semula jadi hutan Sarawak.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

