PELAKON, Datin Rebecca Nur Al Islam, 39, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan warganet apabila memuat naik status menyentuh hati di Instagram yang memberi bayangan rumah tangganya dengan suami, Datuk Nur Azman Sulaiman, sudah berakhir.
Dalam hantaran berkenaan, Rebecca menyifatkan dirinya sebagai ‘single mother of 7’ (ibu tunggal kepada tujuh anak), sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa pasangan yang telah bersama selama hampir dua dekad itu kini telah berpisah.
Lebih menguatkan lagi andaian tersebut, Rebecca turut berkongsi gambar suaminya dan meluahkan ucapan penuh emosi yang dipercayai merujuk kepada pengakhiran hubungan mereka:
“Assalamualaikum, 18 tahun kami bersama. Semoga Allah memberkati awak dengan kesihatan dan kemewahan.

“Terima kasih untuk memori 18 tahun ini, kita sudah cuba yang terbaik, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Luahan tersebut menerima lebih 2,000 tanda suka, 1,000 perkongsian serta dihujani dengan komen tanda sokongan moral daripada netizen dan rakan artis yang mendoakan agar hubungan pasangan ini berada dalam keadaan baik.
Untuk rekod, Rebecca dan Nur Azman mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata dan turut memiliki seorang anak angkat, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.
Sepanjang perkahwinan, pasangan ini dilihat sering berkongsi momen bahagia bersama keluarga besar mereka.
Malah, Rebecca dikenali sebagai antara selebriti wanita yang sering tampil dengan imej isteri dan ibu yang berdedikasi.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada Rebecca berhubung status sebenar rumah tangganya.
URTV masih berusaha menghubungi Rebecca bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

