PROSES penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Syamsul Haris Shamsudin, selesai kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Jasad Allahyarham Syamsul Haris telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi proses bedah siasat kali kedua.
Peguam Datuk Naran Singh Ara Singh berkata jasad Alllahyarham dalam keadaan baik selain memaklumkan bahawa beberapa prosedur akan dijalankan pada petang ini manakala proses bedah siasat akan diadakan pada jam 9 pagi esok.
Turut hadir pada proses berkenaan tiga pakar forensik daripada Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta wakil pakar forensik keluarga, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, memetik laporan Harian Metro.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan kubur Syamsul Haris digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Untuk rekod, Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.
Jenazah kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.
Ibu mangsa memfailkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan agar prosiding inkues dibuka.

