ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pelbagai ancaman keselamatan dan kedaulatan negara terutamanya dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks serta dinamik.
Menurut Kementerian Pertahanan, pihaknya melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) telah menetapkan hala tuju yang jelas bagi menjadikan ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan (AHM) yang bersepadu, tangkas dan berfokus.
Jelas Kementerian Pertahanan, transformasi ATM itu bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa terpelihara, terutama dalam dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka.
“Dalam usaha merealisasikan AMH menjelang 2030, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah pembangunan dan pemodenan ATM yang merangkumi peningkatan keupayaan operasi dan pembangunan teknologi ketenteraan.
“ATM telah menyediakan dokumen strategik seperti Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) bagi memandu proses transformasi ini,” jelas Kementerian Pertahanan dalam jawapan lisan yang disiarkan di Parlimen, hari ini.
Kementerian Pertahanan menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu tahap kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan berikutan ketegangan dan pertikaian antara negara jiran.
Mengulas lanjut, Kementerian Pertahanan memaklumkan, setiap cabang perkhidmatan ATM juga telah menyediakan pelan pembangunan keupayaan masing-masing.
Jelasnya, bagi memastikan pelaksanaan transformasi ini berjalan lancar, sokongan bajet yang berterusan dan progresif adalah kritikal.
“Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bajet pertahanan yang mencukupi bagi memodenkan ATM agar ia kekal relevan, tangkas, dan berkeupayaan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Proses pemodenan ketenteraan ini melibatkan rancangan perolehan aset-aset strategik ATM seperti Light Combat Aircraft (LCA), Littoral Mission Ship (LMS), Littoral Combat Ship (LCS), Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) dan Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang bertujuan untuk memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan aset pertahanan negara,” jelas Kementerian Pertahanan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

