LAGU dialek Kelantan, Cinta Setandan Pisang dendangan Den Manjo dan Eda Ezrin mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24, yang disiarkan secara langsung di TV2 dari Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, malam tadi.
Karya ciptaan Eddie Hamid itu berjaya mengatasi saingan hebat daripada lagu-lagu popular lain termasuk Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Lebih membanggakan, Cinta Setandan Pisang dinobatkan sebagai lagu dalam dialek Kelantan pertama yang berjaya meraih kemenangan di pentas berprestij seperti AIM, sekali gus membuka lembaran baharu buat karya-karya etnik dan loghat tempatan.
Dengan kemenangan tersebut, lagu itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) yang disediakan khas untuk karya-karya berkualiti tempatan.
Dalam ucapan kemenangannya, Den Manjo menzahirkan rasa syukur yang mendalam atas kemenangan bermakna itu.
“Saya bersyukur kerana ini lagu Kelantan pertama yang menang dalam AIM. Alhamdulillah, terima kasih… sek kito jange pecoh,” katanya penuh semangat sebaik menerima trofi.
Ungkapan itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penonton yang hadir, khususnya peminat muzik tradisional dan etnik.
Komposer tersohor, Eddie Hamid, yang terkenal dengan karya berjiwa rakyat, turut tampil memberikan ucapan penuh penghargaan kepada mereka yang menyokong muzik tempatan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong lagu-lagu etnik seperti ini khususnya lagu Kelantan dan dikir barat,’” katanya.
Lagu ini bukan sekadar menampilkan melodi yang unik dan segar, tetapi juga menggabungkan unsur tradisional seperti dikir barat bersama elemen moden dalam susunan muzik.
Liriknya pula menyelitkan frasa popular dialek Kelantan seperti ‘bae sobar bae’ yang menjadi siulan ramai dan tular di media sosial.
Kejayaan ini turut menjadi simbol bahawa lagu-lagu berteraskan loghat tempatan tidak hanya mampu diterima khalayak, malah layak diiktiraf di pentas profesional dan nasional.
Penganjuran AIM ke-24 menyaksikan usaha berterusan dalam menghargai kepelbagaian muzik tanah air, merangkumi genre pop, balada, tradisional, serta muzik etnik dan loghat tempatan.
AIM24 disiarkan secara langsung di saluran TV2, turut menyaksikan barisan persembahan menarik serta penghargaan kepada pelbagai nama besar dan bakat baharu dalam industri muzik tanah air.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

