RIM: Isu ISRC punca Old Love tidak tersenarai dalam kategori Lagu Paling Tinggi Distrim AIM24

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan yang timbul susulan keputusan kategori Lagu Paling Tinggi Distrim di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) baru-baru ini.

Antara lagu yang menjadi perhatian ramai ialah Old Love nyanyian Yuji dan Putri Dahlia, yang walaupun diketahui popular dengan jumlah strim yang tinggi, tidak tersenarai dalam carta rasmi domestik RIM dan tidak dipertimbangkan untuk kategori tersebut di AIM24.

Menurut Pengerusi RIM merangkap Jawatankuasa Penganjur AIM 24, Rosmin Hashim, pemenang kategori Lagu Paling Tinggi Distrim AIM24 ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman yang dibekalkan oleh pihak ketiga melalui proses automatik. 

Penilaian ini adalah berdasarkan Carta Domestik RIM, iaitu carta mingguan rasmi bagi lagu-lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia.

Bagaimanapun, lagu Old Love tidak muncul dalam carta tersebut akibat isu teknikal berkaitan kod ISRC (International Standard Recording Code).

ISRC ialah kod unik yang diberikan kepada setiap rakaman audio dan video muzik, berfungsi sebagai cap jari digital bagi tujuan pelaporan dan pengesanan penstriman serta jualan di seluruh dunia.

Untuk lagu dikira sebagai rakaman tempatan Malaysia, ISRC mestilah bermula dengan kod negara “MY”.

Dalam kes Old Love, lagu tersebut telah didaftarkan dengan tiga ISRC berbeza, semuanya bermula dengan kod negara luar seperti SE (Sweden), TL (Timor Leste), dan QZ (platform antarabangsa). 

Oleh kerana tiada ISRC yang bermula dengan “MY”, sistem automatik tidak mengiktirafnya sebagai lagu tempatan.

Akibatnya, lagu ini tidak dimasukkan ke dalam Carta Domestik RIM dan seterusnya tidak layak untuk kategori Lagu Paling Tinggi Distrim yang hanya mengambil kira rakaman tempatan.

RIM memandang serius isu ini dan menekankan kepentingan mendaftarkan ISRC melalui RIM dengan awalan “MY” bagi memastikan lagu-lagu tempatan diiktiraf dengan sewajarnya dalam carta industri dan pertimbangan anugerah.

“Langkah ini penting untuk menjamin penonjolan muzik dan artis Malaysia, di samping memastikan mereka tidak terlepas peluang menerima pengiktirafan yang layak,” menurut kenyataan RIM.

RIM turut menggesa semua pemain industri termasuk syarikat rakaman, artis bebas dan pengedar muzik untuk lebih teliti dalam proses pendaftaran ISRC.

“Kami menggalakkan kerjasama lebih erat antara industri dan RIM, supaya tidak berlaku kekeliruan seumpama ini di masa hadapan. 

“Pendaftaran ISRC yang betul bukan sahaja membantu dari segi anugerah, tetapi juga penting untuk urusan royalti dan hak cipta secara global,” katanya.

Isu ini menjadi pengajaran penting buat seluruh industri muzik Malaysia, bahawa dalam era digital, aspek teknikal seperti ISRC tidak boleh dipandang ringan. 

Populariti semata-mata tidak mencukupi tanpa sistem data yang kemas dan tepat bagi mengiktiraf kejayaan para penggiat seni di peringkat nasional dan antarabangsa.

Untuk info, kategori terbabit dimenangi oleh lagu Masing Masing dendangan Ernie Zakri dan komposer Indonesia, Ade Govinda.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Baby Shima angkat Bahasa Iban dalam Asai Ke Mimpi, tanda penghargaan buat Sarawak

Penyanyi popular, Baby Shima dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik apabila tampil dengan single berbahasa Iban berjudul Asai...

More Articles Like This