Kisah sangkar besi yang tergantung di gereja. Pernah simpan sisa mayat selama 50 tahun

Dari Penulis

Gereja St Lambert terletak di Münster, Jerman. Jika berdiri di hadapan gereja setinggi lima meter ini dan kita mendongak ke atas, akan terlihat tiga sangkar besi yang tergantung di bahagian menara.

Sangkar yang berada betul-betul di atas jam besar itu kosong. Mengapa ia digantung di situ? Untuk apa?

Gereja St Lambert.
Tiga sangkar besi yang tergatung di menara gereja ini.

Sebenarnya, lebih lima abad yang lalu sangkar itu pernah memuatkan mayat reput tiga pemberontak agama yang menjadi simbol salah satu revolusi Protestan paling berdarah dalam catatan sejarah.

Pada abad ke-16, Münster berada di bawah pemerintahan Franz von Waldeck, seorang ketua agama dan penguasa kawasan tersebut. Walaupun berfahaman Katolik, Waldeck bersikap agak terbuka dengan membenarkan pelbagai aliran Kristian untuk diamalkan selagi tidak menentang akar kepercayaan dan menimbulkan ketegangan.

Sikap kompromi Waldeck itu telah menarik ramai tokoh reformasi agama, termasuk seorang lelaki Belanda bernama Johan Beukelszoon dari Leiden, yang kemudian lebih dikenali sebagai John of Leiden.

John datang dengan membawa ideologi Anabaptis. Ia satu gerakan keagaamaan Kristian yang muncul pada abad ke-16 semasa zaman reformasi Protestan di Eropah. Gerakan ini menolak pembaptisan bayi, sebaliknya menegaskan hanya orang dewasa yang mengaku imannya boleh dibaptiskan. Mereka juga percaya pada kesamarataan manusia dan pembahagian harta secara adil.

Idea radikal ini cepat merebak dan mendapat sambutan. Bersama pengikut tempatan, John menyebarkan risalah yang menyeru orang miskin dari seluruh Jerman Utara untuk datang ke Münster. Kota yang dulunya tenang mula bertukar wajah. Daripada pusat keagamaan yang berkrompromi antara satu sama lain ia mula menjadi pangkalan fanatik yang semakin ekstrem.

Apabila gerakan ini menjadi semakin kuat, penyokongnya telah mengusir Franz von Waldeck. Rumah dan harta orang awam yang enggan menerima ajaran Anabaptis telah dirampas.

Ribuan penyokong Anabaptis membanjiri kota. Katedral dan biara dijarah, ikon-ikon keagamaan dihancurkan, malah pembaptisan semula dijadikan perkara wajib.

John of Leiden.

John of Leiden kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai raja dengan mahkamah diraja ciptaannya sendiri. Beliau mengenakan pakaian kebesaran, namun pada masa sama menyuruh pengikutnya bertelanjang, kononnya bagi menyambut kedatangan semula Kristus.

Poligami pula dijadikan amalan wajib. Malah, John sendiri mempunyai 16 orang isteri. Undang-undang ciptaannya menjadi kejam. Hukuman mati mudah saja dijatuhkan walaupun bagi kesalahan kecil, sementara penduduk kota menderita kelaparan akibat kekurangan makanan dan bekalan.

Kejatuhan & Hukuman Kejam

Selepas lebih setahun pemerintahan John yang menyebabkan huru-hara, Franz von Waldeck akhirnya berjaya merampas semula Münster.

Pada Januari 1536, John bersama dua pengikut utamanya, Bernhard Knipperdolling dan Bernhard Krechting telah ditangkap, diseksa, lalu dihukum mati di pasar besar kota.

Mayat mereka tidak dikebumikan dengan cara terhormat. Sebaliknya, tubuh yang telah dikerat-kerat itu dimasukkan ke dalam sangkar besi sebesar keranda dan digantung tinggi di menara Gereja St. Lambert.

Selama 50 puluh tahun, sangkar-sangkar itu tergantung bersama sisa mayat mereka yang mereput. Ia sebagai amaran keras kepada sesiapa yang cuba menentang dan meruntuhkan keamanan di kota tersebut.

Hari ini, sangkar itu sudah kosong. Tiada lagi serpihan mayat pemimpin radikal yang fanatik dengan ajarannya itu. Walau sudah lama berlalu, tiga sangkar besi itu masih dibiarkan tergantung di situ.

Ia menjadi monumen bisu, saksi kepada sebuah episod hitam dalam secebis sejarah Jerman. Ia bukan sekadar kisah tentang seorang lelaki yang mengisytiharkan dirinya raja, tetapi juga peringatan bahawa kerakusan kuasa mampu mengubah idealisme agama menjadi tragedi berdarah.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Ulek Mayang, Kuda Kepang: ‘Saya rasa ada roh mahu masuk ke dalam tubuh’ – Sam Famulan 

"Saya tak takut hantu. Tapi saya takut apabila lagu itu dimainkan." Pengakuan itu kedengaran pelik, namun itulah pengalaman yang didakwa...

More Articles Like This