SEMUA jentera UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan, pihaknya bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
Justeru, beliau menyeru setiap pemimpin bahagian, sayap dan pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan jentera digerakkan 100 peratus bagi menjamin kemenangan calon-calon BN di seluruh Sabah.
Menurut Bung Moktar, UMNO dan BN bukan baharu dalam perjuangan itu, malah mempunyai pengalaman luas mentadbir, membangun dan menjaga negeri Sabah.
“Dengan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebentar tadi, UMNO dan BN Sabah mengumumkan bahawa kita sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan PRN Sabah ke-17.
“Kita tidak menunggu esok. Persediaan kita sudah lama berjalan.
“Pengalaman ini menjadi bekal utama kita yang akan memudahkan setiap jentera, calon dan kepimpinan melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, UMNO-BN akan menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak semasa rakyat.
Pada masa sama, katanya, BN Sabah tidak akan menutup mata terhadap hakikat sebenar isu kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membangunkan negeri itu akan menjadi tumpuan utama dalam kempen BN kali ini.
Baca artikel lain: DUN Sabah bubar hari ini, beri laluan PRN-17
Beliau mendakwa, rakyat telah melihat sendiri kegagalan kepemimpinan GRS dalam mengurus ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri.
“Banyak kawasan masih ketinggalan, peluang pekerjaan sempit dan dasar pembangunan negeri tidak tersusun.
“UMNO-BN yakin rakyat Sabah akan membuat pilihan yang bijak memilih parti dan calon-calon yang mampu membawa arus perubahan yang lebih baik untuk rakyat dan negeri ini.
“Kita bukan datang dengan janji kosong tetapi dengan keupayaan dan pengalaman yang telah terbukti,” katanya.
Beliau menegaskan, BN Sabah telah bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
“Kita percaya rakyat Sabah berhak untuk hidup lebih baik daripada hari ini berhak menikmati peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh.
“Inilah masa untuk kita betulkan semula haluan negeri Sabah. Bak kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’, pengalaman UMNO-BN menjadi sandaran untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

