Edith Allonby, penulis yang memilih mati supaya karyanya diterbitkan tanpa suntingan

Dari Penulis

Dalam dunia penulisan, penolakan adalah perkara biasa. Karya J.K. Rowling, Harry Porter pernah ditolak lebih 12 kali sebelum berjaya diterbitkan. Gone With The Wind karya Margaret Mitchell ditolak 38 kali manakala Zen and the Art of Motorcycle Maintenance karya Robert Pirsig ditolak sebanyak 121 kali sebelum menjadi karya klasik yang disukai jutaan pembaca.

Namun, berbeza bagi seorang penulis wanita Inggeris pada awal abad ke-20, Edith Allonby, yang memilih jalan berbeza. Dia tidak mencuba berulang kali seperti penulis lain, sebaliknya memilih kematian sebagai jalan agar karyanya diterbitkan.

“Jika mereka kata aku gila, beritahulah bahawa kegilaan ini akan merebak. Bukan kegilaan membunuh diri, tetapi kegilaan untuk percaya.” – Itu surat terakhir ditulis Edith Allonby pada 1905 sebelum dia menamatkan riwayatnya

Siapa Edit Edith Allonby ini? Mengapa dia begitu taksub mahu karyanya diterbitkan hingga sanggup membunuh diri?

Edith Allonby.

Dilahirkan pada tahun 1875 di England, Edith kehilangan ibunya ketika berusia empat tahun. Sewaktu berusia tujuh tahun, keluarganya berpindah ke Liverpool di mana dia menamatkan pendidikannya.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru dan menjadi guru besar di St. Anne’s National School, Lancaster. Edith dikenali sebagai guru yang penuh kasih sayang, tegas dan disayangi murid-muridnya. Dalam masa dua tahun sahaja, sekolah itu berubah menjadi institusi berjaya dengan rekod disiplin dan prestasi yang membanggakan di bawah jagaannya.

Di luar waktu mengajar, Edith menumpahkan jiwanya dalam penulisan. Pada tahun 1903, beliau menerbitkan novel pertamanya Jewell Sowers, diikuti dua tahun kemudian dengan Marigold.

Kedua-dua novel itu diterbitkan tanpa menyebut namanya sebagai penulis, Ia mengisahkan kehidupan yang berlatarkan planet fiksyen bernama Lucifram, di mana segala-galanya digambarkan dalam keadaan terbalik. Pokok tumbuh ke bawah, rumah dan gunung berdiri songsang, bahkan penduduknya berjalan dengan kepala di bawah.

Dua novel karya Edith Allonby.

Novel Ketiga Membawa Maut

Pada tahun 1905, Edith menyiapkan manuskrip novel ketiganya berjudul The Fulfilment. Dalam kata pengantar, dia menulis dedikasi yang berbunyi : “DIPERSEMBAHKAN KEPADA TUHAN — dengan segala rasa hormat dan ketakutan yang mampu dimiliki hati manusia.”

Karya ketiganya itu sarat dengan tema kerohanian dan fantasi keagamaan yang mencabar dogma serta tradisi kepercayaan manusia. Edith mendakwa bahawa idea-idea dalam buku itu diilhamkan oleh Tuhan dan menjadi tanggungjawabnya untuk menyampaikannya tanpa suntingan.

Namun, penerbit menolak untuk menerbitkan naskhah itu tanpa pindaan, kerana ada beberapa bahagian dianggap menyinggung perasaan masyarakat dan tidak sesuai untuk dipaparkan kepada pembaca.

Dalam surat balasannya, Edith menegaskan mahu karyanya itu diterbitkan tanpa sebarang pindaan.

“Apabila aku mula menulis The Fulfilment, aku mahu ia diterbitkan agar aku dapat mempertahankannya dengan penaku. Aku sedar buku ini amat berat, indah tetapi menakutkan, seolah-olah menuntut pengorbanan sebelum dapat dibebaskan ke dunia.” Begitu surat balas Edith yang menegaskan karyanya itu harus diterbitkan tanpa sebarang suntingan.

Namun, penerbit keberatan kerana beranggapan ada bahagian yang menghina berkaitan pegangan agama dan ia terlalu berisiko untuk diterbitkan.

Apabila menyedari tiada jalan lain, Edith melakukan sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi baginya keputusan tragik itu adalah satu bentuk penebusan.

Pada 5 September 1905 di usia 29 tahun, Edith telah menelan asid karbolik yang meragut nyawanya.

Dalam surat yang kemudian diterbitkan oleh The London Standard, Edith menulis: “Aku telah menulis buku yang mengandungi sama ada kebenaran mutlak atau penghujatan yang mengerikan. Aku tahu ia kebenaran, terlalu suci untuk difahami semasa aku masih hidup. Apabila aku sudah tiada nanti, barulah dunia akan membaca dan mengerti.”

Kematian Sia-Sia

Mungkin Edith terlalu awal membuat keputusan dengan mengakhiri riwayatnya, sedangkan pihak penerbit sebenarnya sudah menetapkan tarikh penerbitan karya ketiganya itu pada 1 Disember, iaitu tarikh hari lahir Edith sendiri. Dan ia hanya menunggu persetujuannya untuk suntingan terakhir. Bayangkan jika Edith tidak terburu-buru membuat keputusan bodoh itu…

Selepas kematiannya, naskhah itu tetap diterbitkan. Namun, bahagian yang sensitif itu tetap disunnting dan dipadamkan. Ini bermakna pengorbanan Edith memilih mati demi buku itu dikeluarkan tanpa suntingan adalah sia-sia sahaja.

Sayang sekali kerana Edith Allonby antara wanita terawal yang berani menulis fiksyen sains dan fantasi, genre yang ketika itu didominasi oleh kaum lelaki.

Berbeza dengan penulis lain, Edith menulis dari sudut kerohanian berkisar tentang Tuhan, jiwa, dan dosa, menjadikan penanya unik, namun agak sukar juga diterima oleh masyarakat pada zaman itu.

Edith Allonby mungkin tidak pernah mencapai kemasyhuran sebagai penulis yang diimpikannya. Namun kisah hidupnya kekal sebagai legenda pahit tentang pengorbanan seorang wanita yang terlalu percaya kepada ilhamnya sendiri.

Dia mati dengan harapan karyanya akan hidup selamanya. Tetapi sayang, dunia hanya mengingati satu perkara, iaitu Edith Allonby mati demi sebuah karya yang akhirnya tidak pernah benar-benar dibaca seperti yang dikehendakinya.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam...

More Articles Like This