Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

Dari Penulis

Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam air sebelum memakannya.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar tingkah laku biasa seekor haiwan.

Namun bagi pejuang kebajikan haiwan dan mereka yang mempunyai rasa empati dalam diri, keadaan tiga ekor gajah Malaysia di Jepun, membawa seribu satu persoalan yang sukar dijawab.

Sudah berbulan-bulan berlalu, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) meninggalkan tanah air untuk ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

Di Malaysia mewah, di Jepun?

Di Malaysia, mereka membesar dalam persekitaran tropika yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan segar, tanah lembap dan suasana yang lebih hampir kepada habitat asal gajah Asia.

Tetapi kini, kehidupan mereka jauh berbeza.

Terbaharu, aktivis kebajikan haiwan, Norwaliza Wahab menerusi Facebook, meluahkan kebimbangan selepas melihat keadaan tiga ekor gajah itu menerusi rakaman dan gambar yang dikongsikan.

Menurut beliau, Dara, Amoi dan Kelat dilihat banyak bergantung kepada rumput kering serta ranting-ranting pokok sebagai makanan harian.

Apa yang paling menyentuh hati adalah apabila Amoi didakwa pernah dilihat merendam rumput kering tersebut ke dalam air kolam sebelum memakannya.

Pemandangan itu mengundang rasa pilu.
Adakah Amoi sedang cuba melembutkan makanan yang terlalu kering?

Ruang sempit, risiko masalah otot, sendi dan tulang.

Namun persoalan itulah yang terus menghantui mereka yang mengikuti kisah tiga gajah dari Malaysia ini.

Kebimbangan itu bukan datang daripada aktivis semata-mata.

Menurut sebuah laporan, pakar konservasi gajah yang mempunyai pengalaman lebih lima dekad, Dr. William Keith Lindsay, turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan Dara, Amoi dan Kelat.

Menurut beliau, ruang yang disediakan di zoo berkenaan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semula jadi seekor gajah.

Gajah bukan haiwan yang dilahirkan untuk hidup dalam ruang sempit.

Di habitat asal, ia boleh berjalan berkilometer setiap hari, mencari makanan, bermain lumpur, mandi sungai dan meneroka kawasan yang luas.

Namun di sebalik pagar besi dan lantai konkrit yang dilitupi pasir, kebebasan itu seolah-olah hilang.

Dr. William turut memberi amaran bahawa kurungan yang terhad dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan masalah otot, sendi dan tulang.

Tidak banyak elemen semula jadi

Lebih menyedihkan, kandang tersebut dikatakan tidak mempunyai banyak elemen semula jadi yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seekor gajah Asia.

Tiada sungai yang mengalir.
Tiada kawasan berlumpur yang luas.

Tiada rimbunan tumbuhan tropika yang pernah menjadi sebahagian daripada dunia mereka.

Hanya ruang yang asing, jauh daripada tanah kelahiran sendiri.

Bagi sesetengah pihak, ini mungkin hanya kisah tiga ekor gajah di sebuah zoo.

Tetapi bagi mereka yang pernah mengikuti perjalanan Dara, Amoi dan Kelat sejak di Malaysia, kisah ini jauh lebih mendalam daripada itu.

Ia adalah kisah tentang makhluk yang suatu ketika dahulu hidup di bumi Malaysia, namun kini menjalani hari-hari mereka ribuan kilometer dari rumah.

Rakyat suara DAK, teruskan berdoa!

Mungkin Dara, Amoi dan Kelat tidak mampu bersuara.

Mungkin mereka tidak mampu memberitahu apa yang dirasai.

Tetapi setiap kali gambar mereka muncul di media sosial, setiap kali terlihat rumput kering direndam ke dalam air sebelum dimakan, hati ramai kembali terusik.

Dan persoalan itu terus berlegar tanpa jawapan…

Adakah Dara, Amoi dan Kelat akan menghabiskan seluruh sisa usia mereka di sebalik tembok besi itu?

Atau suatu hari nanti, takdir akan membawa mereka pulang ke tanah yang pernah menjadi rumah mereka?

Sehingga hari itu tiba, nasib tiga gajah Malaysia ini akan terus menjadi tanda tanya yang menyentuh hati ramai.

Namun, kita semua harus terus berdoa. Sehebat mana pun manusia, Allah Maha Berkuasa atas segalanya. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This